Kenyataan Rasmi Topik :: KenyataanRasmi
Kategori :: Sekretariat

Kunjungan :: 720 hits
Tarikh :: Jumaat, 02 Oktober, 2009 - 04:00 PM
Kiriman :: moderator

ISMA bersama gabungan NGO Islam bidas JAG, SIS


Photobucket


Kuantan, 2 Oktober – Sebanyak 14 NGO Islam di Pahang termasuk Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) membidas Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) dan Sisters In Islam (SIS) berhubung kenyataan melampau dua badan itu yang mendakwa hukuman sebat yang dijatuhkan Mahkamah Syariah ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor sebagai kejam dan mencabuli hak asasi manusia.

Bantahan ini telah dikemukakan dalam satu kenyataan bersama oleh NGO-NGO Islam Pahang yang dibacakan di ibu pejabat PERKIM Pahang di sini hari ini. ISMA diwakili oleh Yang Dipertua (YDP) ISMA Pahang iaitu Ustaz Rushdan Abdul Halim dan Setiausaha ISMA Pahang, Tuan Haji Amiruddin Ahmad.

Selain ISMA, 13 NGO lain yang turut bersama ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Peguam-peguam Syarie, Jemaah Islah Malaysia (JIM), Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia, Malaysia Chinese Muslim Association (Macma), Pekida, Badan Nadwah Islamiah (Nadwah), Wadah Kecerdasan Ummah, Ikatan Pengkajian Islam Pahang, Majlis Kebajikan India Muslim Pahang, Persatuan Melayu Kuantan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Baru-baru ini, JAG dan SIS dilaporkan telah menyifatkan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi sebagai kejam, mencabuli hak manusia antarabangsa dan menjatuhkan maruah seseorang. Kartika dihukum denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 20 Julai lepas selepas mengaku salah minum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Satu laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Kuantan selepas solat Jumaat oleh 6 daripada 14 NGO tersebut bagi mendesak JAG dan SIS menarik balik kenyataan yang disifatkan menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat serta menghalang mereka dan pihak-pihak lain daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Syariah itu.

Photobucket
YDP ISMA Pahang, Ustaz Rushdan Abdul Halim.

YDP ISMA Pahang, Ustaz Rushdan berkata, ISMA Pahang menganggap kenyataan melampau yang dikeluarkan oleh JAG dan SIS sebagai satu cabaran dan usaha berterusan daripada pihak-pihak tertentu yang cuba memperlekehkan perlaksanaan syariat Islam di Malaysia.

Menurutnya, ancaman ini hendaklah dipandang serius oleh masyarakat Islam di negara ini terutamanya pihak kerajaan kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam yang merupakan penduduk majoriti sekaligus bertentangan dengan perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.

Berikut merupakan kenyataan bersama NGO-NGO Islam Pahang yang menuntut JAG dan SIS agar menarik balik kenyataan melampau terbabit serta meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam kerana menghina hukum Islam dan Mahkamah Syariah:


KENYATAAN MEDIA BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO) ISLAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR

JANGAN BIADAB! HORMATI KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI SYARIAH KUANTAN

PERNYATAAN PENDIRIAN


Kami NGO Islam di Negeri Pahang membantah sekeras-kerasnya kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Joint Action Group (JAG) For Gender Equality dan Sisters In Islam (SIS) yang meminta untuk membatalkan hukuman sebatan syarie terhadap Puan Kartika Dewi binti Shukarno. Kami juga menyokong sepenuhnya hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan di Negeri Pahang. Kami menyokong sepenuhnya sikap dan pendirian Puan Kartika Dewi binti Shukarno dan keluarganya berhubung dengan kerelaannya menerima hukuman yang bakal dilaksanakan.

PREMIS

• Kesalahan meminum arak yang telah disabitkan terhadap Puan Kartika Dewi binti Shukarno dan hukuman yang telah dijatuhkan ke atasnya ialah denda RM 5,000.00 dan 6 sebatan syariah.
• Hukuman tersebut adalah berdasarkan kepada Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002 yang telah diperkenankan oleh KDYMM Sultan Pahang dan terpakai ke atas setiap orang Islam di Negeri Pahang.
• Wujud pihak tertentu dengan sengaja cuba untuk menimbulkan kesangsian terhadap keadilan Mahkamah Syariah yang berfungsi dalam menguatkuasakan Perundangan Syariah di Negeri Pahang.
• Wujud dakwaan kononnya perlaksanaan hukuman syariah terutamanya sebatan terhadap wanita boleh menjejaskan imej negara dan menghalang kemasukan pelaburan asing ke dalam negara.
• Wujud usaha yang berterusan untuk memburukkan imej perundangan syariah di Malaysia dengan menggunakan takrifan kebebasan individu di dalam Perlembagaan Persekutuan secara sewenang-wenangnya sehingga menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat.
• Timbul pemikiran yang menyeleweng bagi tujuan menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam terhadap perundangan syariah dan penyelewengan tersebut sedang diusahakan untuk disebarkan ke dalam masyarakat.

Maka dengan ini kami:

1. Menuntut Kumpulan Tindakan Bersama Untuk Persamaan Jantina (JAG) dan Sisters In Islam (SIS) menarik balik kenyataan yang menyatakan hukuman sebatan syarie adalah kejam.
2. Menuntut JAG dan SIS meminta maaf secara terbuka kepada semua Umat Islam kerana menghina hukum Islam dan Mahkamah Syariah yang menjalankan perlaksanaan perundangan Syariah.
3. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002 adalah di bawah kuasa Mahkamah Syariah yang telah diperkenankan oleh KDYMM Sultan Pahang. Menghina Undang-Undang Syariah adalah bererti menghina KDYMM Sultan Pahang itu sendiri.
4. Menuntut agar penganut agama lain tidak mencampuri dan mempertikaikan urusan agama Islam.
5. Mendesak agar kerajaan bertindak tegas terhadap pihak yang mencabar kedudukan Islam dan perundangan Syariah yang telah dijamin kedudukannya di dalam perlembagaan negara.
6. Meminta semua pihak menghormati segala keputusan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan berhenti dari membuat kenyataan yang provokatif berkaitan dengan kes Kartika Dewi binti Shukarno.
7. Menyanjung tinggi kerelaan dan persetujuan Kartika Dewi binti Shukarno untuk menerima hukuman tersebut di atas kesedarannya dan keinsafannya, yang mana ini boleh mengangkat maruah dan martabat beliau sendiri di sisi Islam.

Maka dengan ini kami NGO Islam di Negeri Pahang menyokong sepenuhnya keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan dan perlaksanaan hukumannya sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang.


Oleh:
1. Angkatan Belia Islam Malaysia Negeri Pahang - ABIM
2. Peguam-Peguam Syarie Negeri Pahang
3. Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Negeri Pahang
4. Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan) Pahang
5. Jemaah Islah Malaysia Negeri Pahang - JIM
6. Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) Negeri Pahang
7. PEKIDA Negeri Pahang
8. Badan Nadwah Islamiah Pahang - NADWAH
9. Wadah Pencerdasan Ummah Negeri Pahang - WADAH
10. Ikatan Pengkajian Islam Pahang
11. Majlis Kebajikan India Muslim Pahang - MKIMP
12. Persatuan Melayu Kuantan
13. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Negeri Pahang - PERKIM
14. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Negeri Pahang - PKPIM
Mail tulisan ini kepada rakan Paparan Untuk Print

Only logged in users are allowed to comment. register/log in

 
.