Berita Topik :: Berita
Kategori :: Ilmu Islam

Kunjungan :: 520 hits
Tarikh :: Sabtu, 30 Ogos, 2008 - 05:20 AM
Kiriman :: AbdullahZaik

Perutusan Ramadhan 1429



Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Segala puji bagi Allah, selawat dan salam atas junjungan besar s.a.w .. amma ba'du;

Pada tahun ini kita menyambut Ramadhan bersamaan dengan tarikh sambutan hari kemerdekaan Negara ke 51. Ia bersamaan dengan tema Ramadhan itu sendiri iaitu pada akhirnya merdeka dari api neraka.
Justeru saya mengambil kesempatan untuk juga mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan juga menyambut kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga kemerdekaan kita ini diberkati oleh Allah sehingga kita merdeka jiwa, merdeka budaya, merdeka identiti, merdeka tanah air sebagaimana kita merdeka dari azab neraka Allah pada hari akhirat nanti.

Ramadhan bulan yang penuh dengan keberkatan, membawa sekian banyak rahmat dan kurniaan rabbni, syurga roh untuk dikaut oleh orang yang bertakwa.

Marilah kita merasa kerdil di hadapan Allah, memohon darinya kekuatan iman dan kebenaran makrifat untuk kita tampil sebagai hamba yang bertuah memperolehi kelebihan pada bulan Ramadhan. Cabaran Ramadhan sangat besar untuk kita tempohi tanpa bimbingan dan dorongan daripada Allah s.w.t.

Hati kita yang berta’luk (terikat) kuat dengan zinah (kelengkapan) kehidupan, kelazatan hawa dan terhijab dengan duniwiyyat tidak dapat merasai nikmat sebenar bersama Allah dan tafarrud (ketulusan jiwa) dengannya sahaja. Sebagaimana dirasai oleh mereka yang melalui jalan mujahadah yang panjang sehingga segala nikmat dunia tidak terbanding dengan apa yang ada di sisi Allah s.w.t.

Semasa berpuasa berat bagi diri kita meninggal nikmat makan dan minum, menahan diri dari melakukan banyak kerja harus dan sukarnya beribadat, berzikir dan bertadarus. Terasa seperti sakit, sengal, cekang di sana sini. Sungguh tersiksa menghadapinya.

Ya Allah, berilah kami kesabaran menghadapi ujian ini untuk mentaati perintah mu. Ya Allah berilah kami keikhlasan sehingga kesabaran kami ini diterima oleh Mu!.

Begitulah ibadat hamba yang dirinya masih kuat terikat dengan duniawiyyat..

ilal ma’aali ! ya nafsun, ilal ma’aali !..(ayuh wahai nafsu kita menuju ketinggian)

Bagi mereka yang telah berjaya membebaskan diri dan nafsu dari ta’luq dengan kelazatan duniawiyyat dan meninggi kemartabat ruhiyyat dan kehidupan malaikiyyah, berpuasa tidak membebankan mereka.

Ya laha min lazzaatil wusul. (alangkah enak kelazatan berada di destinasi)

Ketahuilah wahai saudara, keluhuran jiwa yang ditarbiayah dengan ketinggian roh akan merasai kesempunaan ihsan ilahi, keluasan rahmah, ghufran dan belaian rabbani sehingga tenggelam dalam kelazatan rohani dalam ibadat puasa dan melupai kepayahan hamba biasa.

Antara mereka ini siapa yang lebih afdhal??

Ada yang mengatakan orang pertama kerana orang sabar dengan ujian mendapat pahala besar dan ada yang mengatakan orang kedua kerana mereka mendapat kerana mereka telah tiba ke destinasi. Wallahu a’lam.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak anda semua ke jalan menyucikan diri, dari ta’luk kepada kebiasaan, nikmat yang dekat dan duniawiyyat kepada mendekati samawiyyat (kehidupan yang lebih tmggi), anugerah ilahiyyat, lutf rabbaniyat (belaian Tuhan) dan ma’aalil jinaan. (ketinggian syurga).

Ia jalan sunnah, jalan iltizam, jalan ibadat, jalan mujahadah dan jalan makrifah iaitu jalan orang-orang yang soleh dan orang bertakwa bukan jalan ahli dunia dan fasik, dan mereka yang lalai.

Ya ikhwan !

Betapa bercabangnya hidup kita pada hari ini….betapa kelirunya jalan-jalan.. manusia berlari-lari , bertempik sorak , mengejar fatamorgana.

Disangka kemenangan itu dengan harta benda, kekayaan, pangkat, pengaruh atau kepuasan nafsu yang sementara. Perjuangan yang panjang lagi sukar akhirnya mereka tidak juga bahagia atau sejahtera. Mereka mengangkat berbagai manifesto, tapi ………..memberi gambaran tanpa hakaikat.

Manusia perlukan kesejahteraan yang sebenar, yang memberikan ia kebahagian hidup dunia dan akhirat. Bahagia dengan iman, bahagia dengan Islam, bahagia dengan berada di atas jalan Nabi Mohamad s.a.w. ……tetapi mereka mencari kebahagian bukan pada tempatnya yang sebenar.

Kebahagian ihtima’ fi rauhillah…… (bernaung dibawah naungan Allah)

Kebahagian yang datang dari cahaya keimanan, keyakinan yang melahirkan tawakkal dan i’timad ‘ala Allah (kepergantungan kepada Allah).

Kebahagian yang datang dari hubungan harmoni dengan anak dan isteri melalui ajaran Islam. Suami soleh, isteri yang setia, anak yang taat…..

Kebahagian yang datang dari akhlak yang membawa hubungan kasih sayang, persaudaraan dan saling percaya mempercayai antara ahli masyarakat.

Kebahagian yang datang dari keadilan sistem jaminan sosial, orang kaya membantu orang miskin, orang kuat memantu orang lemah dan…. Bukan orang cerdik menipu orang bodoh, orang kuat buli orang lemah, orang berkuasa menindas orang bawah..dlln.

Kebahagian yang datang dari rad’i (kuasa menghalang) undang-undang terhadap mereka yang melakukan jenayah. Kebahagaian yang datang dari kepuasan mendapat keadilan terhadap sebarang penganiyaan.

Kebahagian hanya datang dari pengislaman diri yang menyeluruh kepada Allah…penghayatan dalam diri dan masyarakat.

“Wahai manusia ! Masuklah kamu dalam Islam seluruhnya)

Apa hiruk pikuk ini? Untuk apa kebisingan itu pada hidup semua orang yang jauh dari inayah Allah. Jangan sekali-kali anda impikan kebahagiaan.

Ayuhal ai-ikhwan!

Jalan kita ialah jalan Rasulullah s.a.w. Kita tidak boleh lakukan bid’ah atau mereka-reka. Celakalah kita ……bagaimana kita mahu mengajak manusia kepada Allah sedang kita pun berada dalam keadaan terpinga-pinga.

Didiklah diri anda dahulu, tarbiyahlah ia dengan tarbiyah Islamiyah yang sebenarnya sehingga ia telah benar-benar mengenal Allah, barulah anda layak menjadi pendakwah yang memanggil manusia ke jalan Allah.

Betapa ramai manusia hari ini berdiri di tepi jalan mengangkat bendera dakwah dan perjuangan tetapi membawa manusia kepada kehancuran. Bagaimana dia boleh membawa manusia kepada Allah sedang dia sendiri tidak tahu jalan yang perlu diikuti?.

Jadilah kita pendakwah yang benar, pendakwah yang membawa kebahagian dan kesejahteraan kepada manusia di dunia dan di akhirat dengan izin Allah.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua kepimpinan ISMA disemua peringkat dan ahli-ahli ISMA sekelian supaya tampil dibarisan hadapan bersama masyarakat melakukan usaha-usaha bagi menghidupkan syiar Ramadan dengan sungguh-sungguh. Lakukanlah apa yang perlu agar sambutan Ramadan memberi rangsangan dan kemeriahan.

Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden ISMA
Mail tulisan ini kepada rakan Paparan Untuk Print

Only logged in users are allowed to comment. register/log in
.