Berita UtamaPendapat

Rohingya: Apa pendirian kita?

Sebagai individu proaktif, laksana tindakan dalam bulatan pengaruh kita

1. BARU-BARU ini, isu pendatang Rohingya kembali hangat di Malaysia sejak kali terakhir mendapat perhatian dunia pada tahun 2017 apabila berlaku pembantaian dan pembersihan etnik besar-besaran secara amat kejam dan tidak berperikemanusiaan oleh tentera Myanmar.

2. Untuk berbicara tentang pendirian dan tindakan kita, adalah amat penting untuk kita membahagikannya kepada dua.

Pertama, pendirian dan tindakan sebagai seorang individu Muslim terhadap saudara seakidah yang sedang dizalimi.

Kedua, pendirian dan tindakan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat yang terikat dengan undang-undang dunia yang tidak berteraskan Islam.

Kekeliruan dan percampuran dua perkara pokok ini saya lihat menjadi punca polemik dan perdebatan yang tidak berkesudahan di media sosial mahupun di ruangan yang lain.

3. Sebagai seorang Muslim, akidah suci yang kita anuti mengajarkan kita bahawa sesiapa sahaja yang beriman kepada Allah SWT adalah saudara kita walaupun berbeza kedudukan geografi, warna kulit, bahasa dan bangsa (49:10)(3:103).

Lantas, tanggungjawab kita mempertahan dan membantu saudara seakidah kita yang berada dalam kesusahan adalah pendirian asas yang tidak boleh diperselisihkan

4. Sebagai seorang individu Muslim, kita hendaklah membantu mereka melalui pelbagai tabung kecemasan yang dilancarkan oleh pihak badan bukan kerajaan (NGO) atau badan-badan kebajikan lain.

Kita juga digalakkan untuk menyebarkan kesedaran dan kefahaman kepada rakan taulan dan masyarakat yang masih belum mengetahui akan sejarah dan asal usul penderitaan bangsa Rohingya ini melalui program-program kesedaran, ceramah dan penyebaran risalah secara atas talian

5. Kita juga hendaklah mendoakan keselamatan dan kebajikan mereka serta mendoakan kehancuran pihak-pihak kafir zalim yang menjadi punca kepada semua permasalahan ini.

Ingatlah, doa adalah senjata ampuh bagi umat Islam sebagai tanda kebergantungan kita kepada Allah s.w.t

6. Adapun yang banyak dibicarakan secara meluas di media sosial ialah peranan kerajaan Malaysia sebagai sebuah negara.

Ramai mempersoalkan kenapa Malaysia tidak menguatkuasakan undang-undang dan bersikap tegas terhadap para pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya ini?

Ada juga yang mempersoalkan bagaimana bilangan mereka boleh bertambah dari semasa ke semasa sehingga menyebabkan masalah sosial di Malaysia?

7. Di satu pihak yang lain pula, ada pihak yang mempersoalkan kenapa Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen PBB mengenai Status Pelarian 1951 atau Protokol 1967 (yang menjadi asas rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di Malaysia)?

Terdapat juga tanda tanya terhadap keseriusan dan keberkesanan desakan dari negara ASEAN dan OIC dalam menangani isu global ini.

Malah tindakan International Court of Justice (ICJ) dan International Crimical Court (ICC) masih amat perlahan dan dilihat belum mampu menghukum kerajaan Myanmar yang amat jelas bersalah sebagai dalang dalam konflik ini

8. Sebagai individu yang prihatin dan proaktif, kita hendaklah melaksanakan tindakan di bawah bulatan pengaruh kita iaitu apa sahaja yang kita mampu lakukan.

Dalam kapasiti individu kita mampu membantu, menyebarkan kesedaran dan berdoa.

Bagi sesiapa yang mempunyai kapasiti atau pengaruh yang lebih besar sebagai pembangun polisi negara boleh memainkan peranan yang lebih besar bagi menyelesaikan masalah ini

9. Jika kita terus menerus berdebat tentang perkara-perkara di luar bulatan pengaruh yang tidak mampu kita ubah, sudah pasti kita akan tertekan, membuang masa dan tertipu dengan pelbagai diskusi yang tidak produktif bagi menyelesaikan polemik ini

10. Jadilah orang yang proaktif. Tingkatkan kemahiran dan posisi diri supaya kita boleh mempengaruhi pihak berkuasa yang lebih besar untuk menangani apa sahaja polemik negara dan dunia yang berlaku hari ini.

Sementara itu, kita lakukan apa yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing. Kalau tak mampu buat semua, jangan kita tinggalkan semua

ROHINGYA ADALAH SAUDARA KITA SEMUA. BANTU DAN DOAKAN MEREKA!

Ir Hj Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad
Kluster Tarbiah Isma

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button