Berita UtamaPendapat

Angka pelarian muslim tertinggi

Kurangkan meminta untuk diri sendiri, doakan saudara seakidah

1. STATISTIK United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) pada tahun 2017 menunjukkan 65.5 juta manusia telah dipaksa meninggalkan kampung halaman mereka akibat kekejaman, keganasan, peperangan, kebuluran, bencana alam atau pencabulan hak asasi manusia yang lain.

2. Seramai 25.4 juta daripada mereka menjadi pelarian ke negara jiran, manakala selebihnya kekal terpinggir dan merempat di negara sendiri dengan penuh kesengsaraan

3. Daripada 65.5 juta, 5.4 juta (8.2 peratus) adalah umat Islam di Palestin yang terseksa dan dipenjara di negara mereka yang merdeka.

Dari segi pengurusan, mereka di bawah United Nations Relief and Works Agency (UNRWA), bukan di bawah UNHCR.

4. Anda ingin tahu lima krisis pelarian UNHCR tertinggi di dunia datang dari mana? Jawapannya ialah Selatan Sudan, Syria, Afghanistan, Myanmar (Rohingya) dan Somalia.

5. Apakah persamaan antara semua konflik ini? Ya, kesemuanya membabitkan saudara seakidah kita yang beragama Islam, beriman kepada tuhan yang sama dan mengikuti contoh teladan dari Rasul yang sama

6. Di Syria, perang saudara yang didalangi Barat telah menyebabkan 5.6 juta pelarian keluar ke Turki, Jordan dan Lubnan manakala seramai 6.3 juta kekal di Syria.

Di Afghanistan pula, serangan ketenteraan Amerika Syarikat telah menyebabkan 2.7 juta rakyat Afghanistan menjadi pelarian.

Sementara itu, 2.3 juta rakyat Selatan Sudan terpaksa meninggalkan negara mereka ke Uganda akibat perang saudara yang meletus, selain 1.7 juta orang yang lain kekal menderita di Sudan.

7. Di Somalia, kebuluran, kemarau dan banjir besar menyebabkan lebih 1 juta rakyat Somalia menjadi pelarian ke negara-negara Afrika lain.

Seramai 2.1 juta orang pula kekal sebagai pelarian di negara sendiri.

Selain itu, lebih 1.1 juta rakyat Rohingya dari Myanmar telah menjadi pelarian akibat pembersihan etnik yang berlaku didalangi tentera negara mereka sendiri.

Daripada jumlah ini, hampir 900 ribu menjadi pelarian ke Bangladesh manakala selebihnya menjadi pelarian ke negara-negara jiran yang lain

8. Bukalah mata kita dan lihatlah kemelut yang sedang melanda dunia.

Ketika polemik pelarian Rohingya sedang hangat dibicarakan di negara kita, rupa-rupanya ianya hanya ‘the tips of the iceberg’.

Terdapat puluhan juta lagi umat Islam yang menderita di sana sini akibat kekejaman dan strategi jahat musuh-musuh Islam

9. Kita boleh mengambil keputusan untuk terus mencaci dan menghina mereka, bahkan memalukan mereka dengan pelbagai cara disebabkan fizikal dan cara hidup mereka yang jauh berbeza dengan kita.

Kita juga boleh terus merasa selesa hidup di negara yang diberkati dan aman ini dengan hanya memikirkan kepentingan diri kita dan keluarga kita

10. Tapi bagaimana pula dengan puluhan juta umat Islam yang terseksa di seluruh dunia?

Mereka tinggal sehelai sepinggang dan mungkin sedang di ambang maut akibat kebuluran, kesejukan atau kekejaman musuh!

11. Ayuh kita panjat doa dalam munajat kita di sepanjang bulan Ramadan yang penuh berkat ini.

Titiskan air mata mengenang penderitaan mereka.

Alunkan qunut nazilah buat para musuh yang tidak putus-putus ingin menghancurkan Islam dan umat Islam.

Kurangkan meminta kepada Allah SWT untuk diri kita sendiri, sebaliknya mintalah untuk saudara seakidah kita yang lain.

12. Moga Ramadan kali ini mampu mengubah kita menjadi muslim yang hidup untuk umat dan gembira sedihnya hanya untuk Islam. Amin.

Ir Hj Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad
Kluster Tarbiah Isma

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close