Berita Utama

Lambakan warga asing, pihak berkuasa perlu bertegas

Pendatang tanpa izin tak boleh masuk tanpa ada bantuan ejen

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 7 Ramadan 1441H, Khamis – Pihak berkuasa perlu bertindak tegas dalam menangani isu lambakan warga asing kerana ia membabitkan isu keselamatan negara, kata Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Hussin Awang Ngah.

Beliau berkata, antara pihak yang bertanggungjawab adalah Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara serta pemimpin politik.

Sebelum ini, menerusi laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga 2018.

Menurut laporan itu, sepanjang 2016 hingga 2018 data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) mendapati seramai 76,258 (95.6 peratus) daripadanya tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

Bagi warga India pula,  kemasukan yang dicatatkan ialah 41,243 antara 2017 dan 2018 tetapi, 39,806 atau 96.5 peratus tidak mempunyai catatan tarikh keluar.

“Sekarang, jika kita anggar dan campurkan mungkin sudah melebihi 100,000 orang. Ini yang kita dapat kesan.

“Bagaimana pula dengan mereka yang tidak dapat dikesan? Jadi perlunya ketegasan pihak penguatkuasaan,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai isu kad pengenalan (MyKad) palsu, katanya mereka yang bersubahat – termasuk warga asing – mesti didakwa tindakan tegas.

Katanya, beberapa pegawai Jabatan Pendaftaran Negara sebelum ini telah dihadapkan ke mahkamah atas perbuatan bersubahat mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing dengan cara tidak betul.

“Begitu juga dengan ejen-ejen yang membawa masuk warga asing. Jika ada bukti, buka satu kertas siasatan. Kalau ada bukti yang cukup, tangkap mereka dan dakwa di mahkamah. Sebenarnya, orang-orang ini yang menjadikan lambakan warga asing di negara kita.

“Mereka tak boleh datang sendiri tanpa ada ejen tertentu, jadi, ejen ini yang kita perlu dapatkan. Mungkin ia diselindungi dan mempunyai kabel besar.

“Jika nak kembalikan harta kita dengan keamanan, maka kita perlu tegas dalam pelaksanaan undang-undang,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close