Berita Utama

‘Berjalan ke pasar raya’ bukan keperluan sosial semasa PKPB

Hidup pada fasa PKPB lebih sederhana berbanding sebelum PKP

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 8 Ramadan 1441H, Jumaat – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengajar rakyat tentang kemampuan mengadaptasi kehidupan berdasarkan situasi, kata Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Dr Rozanizam Zakaria.

Jelas beliau, adaptasi ini memerlukan mereka menimbang antara manfaat dan mudarat sesuatu keputusan, berkorban serta mengawal kehendak diri.

Justeru katanya, inilah antara nilai yang perlu dibawa keluar dari PKP untuk dibawa ke fasa seterusnya dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) nanti.

“Ia memerlukan komitmen semua untuk terus beradaptasi dan berdisiplin mengawal diri. Sebagai contoh, norma baru sosial seperti penjarakan sosial, kerap membasuh tangan, memakai penutup mulut dan hidung jika bergejala, etika batuk, kewaspadaan dalam bersosial adalah semua yang tidak mempunyai tarikh luput.

“Budaya baharu ini tidak berakhir dengan tamatnya PKP. Ia memerlukan kita untuk kekal mengamalkannya secara konsisten serta mendidik anak-anak untuk mematuhinya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Dalam pada itu, Dr Rozanizam berpandangan bahawa PKPB adalah langkah yang mengambil kira semua faktor berdasarkan kapasiti kerajaan yang melihat semua aspek dalam negara.

Katanya, sudah tentu ia mengundang perdebatan dari pelbagai pihak berdasarkan pro dan kontra keputusan kerajaan ini.

“Namun sebagai rakyat, antara tugas kita adalah memainkan peranan atas kapasiti kita sebagai individu, ahli keluarga dan anggota segmen-segmen tertentu dalam masyarakat. Pelaksanaan PKPB menuntut rakyat untuk hidup lebih bersederhana dan mengurangkan aktiviti yang tidak bersifat keperluan mendesak.

“Sebagai contoh, sebelum ini kita mungkin menganggap kunjungan ke bazar Ramadan, berjalan-jalan di pasar raya dan beriadah beramai-ramai sebagai keperluan sosial. Namun hari ini kita perlu membina definisi baharu terhadap keperluan sosial kita.

“Hidup kita pada fasa PKPB akan lebih sederhana berbanding sebelum PKP. Pergerakan kita mungkin lebih bebas, namun kunci kawalan pergerakan terletak pada kita. Bukan lagi pada penguasa semata-mata,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan melaksanakan PKPB bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

Beliau berkata, dalam masa yang sama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terus dilaksanakan di kawasan zon merah.

“Dalam melaksanakan PKPB ini, aktiviti dan perhimpunan ramai yang mendedahkan risiko jangkitan COVID-19 masih tidak dibenarkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button