Berita Utama

Kes kematian akibat bunuh diri di Malaysia meningkat

143 peratus lebih banyak setakat Julai 2021 berbanding tempoh sama tahun 2020

BANGI, 3 Safar 1443H, Jumaat – Kematian akibat kes bunuh diri di Malaysia meningkat tahun lalu iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada tahun 2019, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Berdasarkan sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM), peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak kes kematian bunuh diri dilaporkan sehingga Julai 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejumlah 638 kes bunuh diri telah dilaporkan oleh PDRM setakat Januari hingga Julai berbanding 262 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Tambahan lagi, situasi pandemik COVID-19 di seluruh dunia memberikan impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu dan masyarakat Malaysia tidak terkecuali.

“Faktor-faktor sosial yang menyebabkan stres yang terlampau antaranya hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai juga boleh memberi kesan kepada sesetengah individu yang berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan.

“Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya berisiko untuk tingkah laku bunuh diri,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia, hari ini.

Bertemakan ‘Bertindak Segera, Harapan Terbina’, beliau berkata, ia bertujuan meningkatkan keyakinan masyarakat bagi memainkan peranan penting dalam mencegah insiden bunuh diri dan menghapuskan stigma berkaitan tingkah laku bunuh diri.

Selaras itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM melaksanakan beberapa inisiatif bagi menangani isu tingkah laku bunuh diri, termasuk pengukuhan pelaksanaan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial.

“Pengukuhan Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan oleh KKM dengan kerjasama NGO bagi meningkatkan akses terhadap liputan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial bagi membantu individu yang memerlukan sokongan semasa pandemik COVID-19.

“Pertambahan pegawai psikologi kaunseling di peringkat daerah dan klinik kesihatan bagi mengukuhkan perkhidmatan kesihatan mental, pencegahan keganasan dan kecederaan serta penyalahgunaan substans,” katanya.

Beliau berkata, KKM turut melaksanakan sokongan terhadap usaha Dekriminalisasi Cubaan Bunuh Diri dalam memansuhkan atau meminda Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menyabitkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah.

Katanya, kementerian turut melaksanakan Advokasi Kempen Let’s TALK Minda Sihat kepada kumpulan sasar menerusi masyarakat secara menyeluruh merentas agensi dan secara bersepadu termasuk melibatkan media massa, media sosial serta pihak berkepentingan.

“Latihan secara berterusan kepada ‘first-line responders’ seperti anggota kesihatan, anggota polis dan anggota bomba bagi meningkatkan kemahiran pengendalian tingkah laku bunuh diri.

“Mempergiatkan sesi libat urus dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam usaha ‘whole-of-government dan whole-of-society’ untuk menangani isu tingkah laku bunuh diri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button