Berita Utama

COVID-19: Banyak negara tutup sempadan, sekat perjalanan

Bahrain kurangkan jumlah penerbangan, tangguh skim visa ketibaan

DOHA, 8 Ramadan 1441H, Jumaat – Kebanyakan negara di seluruh dunia mula mengambil pendekatan menyeluruh, termasuk menguat kuasa perintah berkurung, menutup lapangan terbang serta sempadan dan mengenakan sekatan perjalanan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Pada 22 Mac lalu, Albania menangguhkan semua penerbangan komersial ke dan dari negara itu, namun hanya membenarkan syarikat penerbangan Albania Air beroperasi ke Istanbul bagi mengendalikan penerbangan kemanusiaan.

Argentina pula mengumumkan menutup sempadannya kepada semua bukan penduduk negara itu sekurang-kurangnya dua minggu pada 15 Mac lalu, selain membatalkan penerbangan dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah mulai 16 Mac. Penutupan itu kemudian dilanjutkan sehingga 12 April.

Australia juga tidak membenarkan penumpang transit atau memasuki negara itu, kecuali rakyatnya, penduduk tetap, keluarga terdekat mereka, kru syarikat penerbangan serta diplomat.

Sekatan itu tidak membabitkan warganegara transit Fiji, Kiribati, Kepulauan Marshal, Mikronesia, Nauru, New Zealand, Niue, Palau, Papua New Guinea, Samoa, Pulau Solomon, Tonga, Tuvalu dan Vanuatu.

Rakyat Australia juga tidak dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negara, kecuali mereka yang tinggal di negara lain, kru penerbangan dan maritim serta pekerja keselamatan.

Di Bahrain, jumlah penerbangan masuk dikurangkan sehingga makluman lanjut diberitahu kelak, sejak 18 Mac lalu. Negara itu juga menangguhkan skim visa ketibaan.

Warga asing yang pernah berada di Austria, Belgium, China, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Yunani, Hungary, Iceland, Iran, Iraq, Korea Selatan, Latvia, Liechtenstein, Lithuania, Luxembourg, Malta, Belanda, Norway, Poland, Portugal, Slovakia, Slovenia, Sepanyol, Sweden, Switzerland, United Kingdom dan AS dalam 14 hari terakhir tidak dibenarkan transit dan memasuki Bahrain.

Sementara pelancong yang pernah berada di Hong Kong, Itali, Jepun, Lubnan, Malaysia, Singapura atau Thailand dalam 14 hari terakhir mesti mempunyai visa yang sah sebelum ketibaan.

Bagaimanapun, sekatan itu tidak dikuatkuasakan ke atas kru syarikat penerbangan, anggota tentera, penduduk Bahrain, warga Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button