Berita Utama

Hari Pekerja dalam keadaan normal baharu

Tiada himpunan sambutan dianjurkan seperti kebiasaan oleh kerajaan

KUALA LUMPUR, 8 Ramadan 1441H, Jumaat – Hari ini tenaga kerja Malaysia meraikan sambutan Hari Pekerja dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan suasana berbeza selepas menempuhi pelbagai cabaran berikutan pandemik COVID-19.

Tidak ada perhimpunan hari pekerja seperti kebiasaannya baik yang dirancang oleh Kerajaan Persekutuan mahupun negeri dan ini adalah sebahagian dari normal baharu yang perlu dilalui masyarakat Malaysia kini.

Hari Pekerja kali ini disifatkan ‘unik’ kerana berjaya menaikkan semangat pekerja untuk memberikan yang terbaik kepada kesejahteraan negara, terutama petugas barisan hadapan sama ada secara langsung atau tidak langsung, yang bekerja tanpa mengenal penat lelah sementara pekerja yang bukan daripada sektor yang dibenarkan kerajaan untuk beroperasi kekal duduk di rumah untuk bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan pandemik itu .

Dalam pada itu tidak dilupakan juga ada pekerja yang pendapatan mereka terjejas ketika wabak pembunuh ini mengganas, antaranya sektor pelancongan dan juga sektor perniagaan kecil-kecilan seperti makanan yang walaupun masih boleh beroperasi tetapi terhad dengan kekangan PKP.

Dengan lengkung pandemik yang mula berjaya diratakan dan bilangan kes positif COVID-19 secara harian yang konsisten iaitu pada kadar dua angka dalam tempoh 14 hari berturut-turut sejak 17 April lepas menyaksikan Malaysia kini memberikan sedikit kelonggaran dalam peraturan ‘sekatan pergerakan’ yang kini dilanjutkan sehingga 12 Mei ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat semalam, penularan COVID-19 di negara ini telah menjangkiti 6,002 orang dan meragut 102 nyawa. Namun berita baiknya, kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj kini meningkat sebanyak 4,171 kes atau 69.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Hari ini juga masuk hari kelapan berpuasa dan sudah pastinya ramai umat Islam sangat merindukan untuk melakukan ibadah solat sunat tarawih secara berjamaah di surau dan masjid, selain sudah tujuh kali solat Jumaat tidak dapat dilaksanakan berikutan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lepas akibat pandemik COVID-19.

Seminggu ini sudah tentunya muncul imam-imam baharu, baik yang muda mahupun yang sudah meningkat usia kerana mahu menunaikan solat sunat tarawih di rumah bersama keluarga tersayang — satu kesan positif dilihat daripada satu sudut arahan PKP.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam program temu bual semalam memberitahu pihaknya sedang berbincang dan merangka garis panduan bagi membolehkan aktiviti ibadah termasuk solat berjemaah dilakukan kembali, namun bergantung kepada kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button