Berita Utama

‘Individu ketagih tonton pornografi biasanya jiwa kosong’

Laman web lucah bukan hanya diakses remaja, tetapi juga individu berusia

BANGI, 8 Ramadan 1441H, Jumaat – Statistik Malaysia menduduki tangga pertama di Asia yang menyumbang kepada kenaikan trafik di laman pornografi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sangat membimbangkan, kata Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Hisham Sharif

Apatah lagi, laman web lucah berkenaan bukan hanya diakses dengan mudah oleh golongan remaja, bahkan individu berusia dan sudah berkahwin tanpa sebarang sekatan, katanya.

Beliau turut bimbang dengan ketiadaan sebarang bentuk kawalan daripada pihak berautoriti dalam menyekat rakyat dengan mudah mencapai laman pornografi berkenaan.

“Individu yang mengakses laman pornografi ini biasanya jiwa mereka kosong dan mudah untuk mengikut kata hati serta kesukaan yang merosakkan.

“Ketagihan kepada laman pornografi adalah satu bentuk ketagihan yang amat sukar untuk dirawat. Bagi umat Islam, ia menunjukkan penghayatan imannya jauh daripada keimanan sebenar,” katanya dalam temu bual Pertiwi Eksklusif, hari ini.

Beliau berkata, cabaran terhadap isu pornografi ini bukanlah berlaku dalam tempoh PKP sahaja, bahkan negara telah lama berdepan keadaan berkenaan.

Bagaimanapun, tempoh PKP lebih mendorong ramai individu untuk mencapai laman berkenaan, dalam keadaan capaian internet semakin mudah dan tidak banyak aktiviti di luar kerana perlu sentiasa berada di rumah.

“Hari ini, Perdana Menteri mengumumkan banyak sektor ekonomi diberi kelonggaran untuk beroperasi termasuk aktiviti sosial dan sebagainya dengan bersyarat.

“Jadi, kita harap dengan kelonggaran ini, rakyat Malaysia kembali menikmati kehidupan luar dan mengurangkan ketagihan kepada pornografi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button