Berita Utama

Inti pati Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat

Aktiviti ekonomi, sosial tertakluk kepada syarat SOP

KUALA LUMPUR, 8 Ramadan 1441H, Jumaat – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei, tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Berikut antara inti pati PKPB seperti diumumkan perdana menteri:

* Restoran dibenar beroperasi dengan mematuhi SOP perniagaan iaitu penjarakan sosial serta mencatat nama dan nombor telefon pelanggan serta tarikh kehadiran mereka.

* Panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran tidak dibenarkan.

* Aktiviti sukan melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan termasuk bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan ‘indoor’ (dalam bangunan) dan stadium.

*Aktiviti sukan outdoor (luar) yang tidak melibatkan sentuhan badan dan dalam kumpulan kecil seperti bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton, jogging, kayuhan basikal, golf dan larian tidak melebihi 10 orang dibenarkan dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial.

* Majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

* Aktiviti keagamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah ibadat juga tidak dibenarkan.

* Perjalanan rentas sempadan negeri tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat lain.

* Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan.

* Buat masa ini, semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi masih belum dibuka.

(Senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan disemak dari semasa ke semasa bergantung kepada perkembangan kes jangkitan COVID-19)

* Semua majikan dicadang melaksanakan waktu bekerja anjal sebagai usaha membantu mengelakkan kesesakan di stesen pengangkutan awam dan di dalam kenderaan awam.

* Pekerja sektor awam dan swasta digalakkan bekerja dari rumah sebagai satu normal baharu.

* Majikan boleh memberi sedikit kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang bekerja untuk datang ke tempat kerja secara selang-seli atau ‘every alternate day’, sekali gus membantu menyelesaikan masalah penjagaan anak.

* Elak kesesakan di stesen bas, LRT, MRT.

* Amalkan memakai penutup hidung dan mulut serta sentiasa membawa cecair pembasmi kuman ketika berada di luar rumah.

Muat turun aplikasi MySejahtera dan MyTrace untuk memudahkan pengesanan kontak. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close