Berita Utama

ISMA sambut baik PKPB, beri ruang ekonomi ‘bernafas’

Semua pihak perlu kekal disiplin jaga jarak sosial, amalan kebersihan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 8 Ramadan 1441H, Jumaat – Kebenaran untuk semua sektor beroperasi secara terkawal di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan memberikan ruang untuk usahawan kembali menjalankan aktiviti, mendapatkan semula pendapatan dan mengelakkan tindakan membuang pekerja.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, beliau menghargai usaha kerajaan memahami keadaan ekonomi dan implikasinya kepada negara serta rakyat sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Bagaimanapun, beliau turut bimbang dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berhubung kerugian harian sebanyak RM2.45 bilion yang ditanggung kerajaan sepanjang tempoh PKP.

“Ini sesuatu yang merisaukan dari segi pendapatan negara dan kesan kepada pembangunan, juga kemungkinan pemberhentian pekerja jika ia dilanjutkan.

“Namun, kebenaran semua sektor untuk beroperasi akan memberikan ruang untuk usahawan kembali menjalankan aktiviti dan mendapatkan pendapatan, selain mengelakkan tindakan pembuangan pekerja,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Perdana Menteri dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja hari ini berkata, kerajaan akan melaksanakan PKPB engan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan mulai 4 Mei ini.

Beliau berkata langkah itu susulan dua daripada enam strategi dan perancangan kerajaan dalam memerangi wabak iaitu ketegasan dalam tindakan mengawal COVID-19 dan membina ketahanan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin telah membuahkan hasil.

“Kita telah bersedia untuk memulakan pendekatan ketiga, iaitu membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati. Dengan ini kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB,” katanya.

Menyambut baik perkara itu, Haji Aminuddin meminta semua pihak kekal berdisiplin memenuhi syarat ditetapkan dengan menjaga penjarakkan sosial, pemeriksan suhu badan dan amalan kebersihan diri jika tidak mahu pandemik ini kembali merebak.

“Sekatan kepada perhimpunan awam seperti aktiviti sukan dan agama diteruskan kerana jika dibenarkan ianya amat sukar didisiplinkan. Ini adalah tindakan tepat.

“Bagaimanapun, semua ini terpulang kepada rakyat. Kita semua yang menentukan nasib kita dan negara. Kalau lalai dan tidak patuh, maka kemungkinan PKP kali kedua akan terpaksa dilaksanakan dan ini pasti kita semua tidak mahu ia berlaku,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button