Berita Utama

Kes positif penularan tempatan meningkat 2 hari berturutan

Daripada 69 kes baharu, 57 kes babitkan penularan tempatan

PUTRAJAYA, 8 Ramadan 1441H, Jumaat – Kes positif COVID-19 membabitkan penularan tempatan menunjukkan peningkatan dua hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 69 kes baharu, 57 kes membabitkan penularan tempatan berbanding kes import sebanyak 12.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif positif COVID-19 sebanyak 6,071 kes,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini COVID-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, seramai 1,758 pesakit COVID-19 masih dirawat di hospital.

“Sehingga kini, seramai 37 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 14 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan merekodkan satu kematian membabitkan lelaki berumur 66 tahun yang juga mempunyai penyakit barah darah.

Katanya, pesakit berkenaan merupakan kes positif ke-5,441 dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif 4,818.

“Dia dirawat di hospital Kuala Lumpur pada 14 April lalu dan disahkan meninggal dunia 4 petang semalam,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 58 kes baharu yang mana 25 kes terdiri daripada kes import dan 32 penularan tempatan.

Berdasarkan data terbaharu KKM, dua lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mempunyai kes jangkitan baharu iaitu Selayang Baru (17 kes) manakala satu lagi lokaliti terdiri dari Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur, Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur mencatatkan sebanyak tiga kes.

Bagi kluster perhimpunan Sri Petaling, KKM mencatatkan pertambahan empat kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan positif COVID-19 sebanyak 2,179 kes.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button