Berita Utama

Ustaz Ebit Lew beri keterangan bantu siasatan kes gangguan seksual

Polis minta semua pihak tidak buat sebarang spekulasi, provokasi

KUALA LUMPUR, 10 Muharram 1443H, Khamis – Pendakwah terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew hari ini dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan kes itu akan diteruskan sehingga polis berpuas hati untuk merujuk kes kepada Jabatan Peguam Negara bagi nasihat dan arahan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi selain menyebar sebarang bahan yang boleh menjejaskan siasatan kes tersebut.

Sementara itu, Ebit ketika ditemui pemberita berkata, beliau memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Ia satu fitnah yang sangat kejam dan melampau tetapi saya reda dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya.

Terdahulu, Ebit tiba di Bukit Aman pada 9 pagi tadi dan meninggalkan perkarangan Bukit Aman pada kira-kira 2 petang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button