Berita Utama

Langkah laksana PKPB keputusan sukar : Prof Aznan

Tempoh PKP pengaruh kesan domino ke atas ekonomi

BANGI, 8 Ramadan 1441H, Jumaat – Tindakan kerajaan sama ada untuk mempertimbangkan antara meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau membuka sektor-sektor ekonomi pada hakikatnya suatu keputusan yang sukar.

Pensyarah Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Aznan Hasan berpandangan penerusan PKP – yang sudah memasuki fasa keempat – adalah amat baik.

Katanya, bagaimanapun semakin panjang tempoh PKP, semakin banyak sektor ekonomi yang akan terkesan.

“Kesan domino ke atas ekonomi akan berganda. Sementara, membuka sektor ekonomi secara terlalu terbuka akan meransang kembali, paling kurang, banyak sektor-sektor ekonomi tetapi risikonya adalah seperti mana kita semua tahu.

“Sememangnya suatu keputusan yang berat. Apa yang penting syarat pembukaan dan prosedur operasi standard (SOP) mestilah mantap dan tangkas demi memastikan ekonomi boleh kembali bergerak, tanpa mengambil risiko kesihatan yang besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan hari ini memutuskan untuk membuka semula hampir semua sektor ekonomi secara berhati-hati mengikut SOP kesihatan ketat bermula 4 Mei hadapan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk syarat-syarat ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Bagaimanapun, beliau menegaskan, masih ada jenis perniagaan yang masih tidak dibenarkan beroperasi kerana dibimbangi melibatkan sentuhan badan dan aktiviti perhimpunan awam antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, bazar Ramadan serta semua bentuk persidangan dan perhimpunan orang awam.

Senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan beroperasi boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara.

Difahamkan senarai itu akan disemak dari semasa ke semasa bergantung kepada perkembangan kes jangkitan COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close