Berita UtamaDunia

Liga Arab kecam cadangan Israel rampas Tebing Barat

AS didesak tarik balik sokongan benarkan penjajahan rejim Zionis

TEBING BARAT, 8 Ramadan 1441H, Jumaat – Liga Arab mengecam cadangan kontroversi rejim pengganas Israel untuk merampas sebahagian besar Tebing Barat yang diduduki, dan menyifatkan tindakan itu akan menjadi ‘jenayah perang baharu’ terhadap rakyat Palestin.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Menteri-Menteri Luar Arab semalam, selepas mengadakan persidangan secara atas talian yang dipengerusikan Mesir.

“Pelaksanaan rancangan untuk merampas mana-mana bahagian wilayah Palestin yang diduduki pada 1967 termasuk Lembah Jordan… dan tanah di mana penempatan Israel sekarang mewakili jenayah perang baharu … terhadap rakyat Palestin,” kata kenyataan itu.

Liga Arab turut mendesak Amerika Syarikat (AS) supaya menarik balik sokongannya dalam membenarkan rancangan penjajahan rejim Israel itu.

Presiden AS, Donald Trump pada Januari lalu mencetuskan rancangan kontroversi kononnya bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin selama beberapa dekad – yang bersifat berat sebelah.

Rancangan yang dibantah rakyat Palestin dan dikutuk kebanyakan masyarakat antarabangsa itu mahu memberi lampu hijau untuk memperluaskan penempatan Yahudi dan merampas wilayah strategik lain di Tebing Barat.

Dalam mesyuarat Liga Arab itu, Menteri Luar Negeri Palestin, Riyad al-Malki berkata, tindakan Israel merampas Tebing Barat akan mengakhiri usaha penyelesaian dua negara.

Katanya, langkah itu akan mengubah pertempuran daripada politik kepada perang agama yang tiada kesudahan, sekali gus tidak pernah membawa kepada kestabilan, keamanan atau perdamaian di wilayah berkenaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button