Berita Utama

Malaysia dapat pujian kekang COVID-19

Pelaksanaan PKP dilihat antara terbaik berbanding negara lain

PUTRAJAYA, 8 Ramadan 1441H, Jumaat – Malaysia mendapat pujian negara luar termasuk China dalam usaha negara ini menangani dan mengekang penularan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pujian itu termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilihat antara yang terbaik berbanding negara lain kerana bertindak pantas melaksanakannya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga ada membuat sidang video dengan China yang mana mereka mengagumi usaha dilakukan oleh Malaysia khususnya persediaan termasuk kemampuan menyediakan tujuh hospital untuk merawat pesakit Covid-19.

“Mereka juga memberi pandangan terhadap kepentingan menjaga dan menguatkan sempadan negara untuk mengelakkan peningkatan wabak itu.

“Kita juga berbincang mengenai polisi dan tindakan seterusnya dalam mengekang COVID-19 dan apa yang mereka lakukan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga sedang belajar mengenai aspek teknikal menangani COVID-19 daripada negara lain termasuk China.

Mengulas mengenai pemakaian topeng hidung dan mulut, beliau berkata, walaupun pertubuhan kesihatan sedunia (WHO) memaklumkan pemakaian itu hanya kepada mereka yang bergejala dan barisan hadapan tetapi orang ramai juga digalakkan memakainya jika keluar rumah atau berada di tempat awam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button