Berita Utama

Moratorium: Kenyataan BNM bercanggah pengumuman PM

Pakej PRIHATIN tak bantu rakyat tapi untungkan bank sahaja

BANGI, 8 Ramadan 1441H, Jumaat – Kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung pengambilan moratorium selama enam bulan mengelirukan banyak pihak dan dilihat bercanggah dengan pengumuman awal yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, ketika pengumuman dibuat, tiada tambahan kos didakwa dikenakan jika penangguhan bayaran diambil oleh peminjam ‘hire purchase’, tetapi kini telah dikenakan faedah tambahan terhadap masa yang diambil moratorium.

Menyifatkannya tidak wajar, beliau berkata, kenyataan BNM bukan sahaja mengelirukan tetapi akan menambah beban rakyat yang mengambil pinjaman kereta.

“Jadi, pakej PRIHATIN tidak benar-benar membantu rakyat sebaliknya tetap menguntungkan bank. Bagi rakyat yang kesempitan duit, mengambil moratorium masih pilihan yang baik walaupun terpaksa membayar sedikit tambahan.

“Tetapi rakyat diingatkan akan implikasi masa depan dan bersedia untuk membayar lebih dalam jangka masa tertentu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, BNM kesal atas sebarang kekeliruan yang timbul daripada salah faham, yang sedikit sebanyak mungkin disebabkan oleh ilustrasi pengiraan yang ditunjukkan dalam versi awal soalan lazimnya, yang menggunakan beberapa andaian dan kaveat.

Kekeliruan yang timbul adalah disebabkan oleh salah tanggapan bahawa jumlah bayaran balik sesuatu pinjaman Sewa Beli tidak boleh diubah, kata BNM dalam senarai soalan lazim yang dikeluarkan hari ini mengenai penangguhan enam bulan sewa beli dan produk pembiayaan Islam berkadar tetap.

Penangguhan bayaran balik pinjaman/pembiayaan sebenarnya bertujuan membantu aliran tunai peminjam/pelanggan yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Tujuan ini masih tidak berubah.

“Kami kemudiannya mengeluarkan contoh pengiraan tersebut daripada ini apabila Institusi Kewangan menyediakan contoh pengiraan mereka masing-masing. Ilustrasi yang kami tunjukkan bukan bertujuan untuk ‘menghilangkan’ caj kadar faedah terakru kepada pinjaman yang diberikan penangguhan bayaran balik,” kata bank pusat.

Bagaimanapun, Haji Aminuddin berkata, bagi rakyat yang mempunyai lebihan tunai dan tidak mengambil moratorium adalah pilihan lebih baik.

“Untuk pembiayaan Islam sepatutnya tidak ada tambahan faedah sebab untuk menambah faedah sepatutnya perlu dapat persetujuan kedua-dua belah pihak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close