Berita Utama

Moratorium: Tak boleh salahkan bank kenakan faedah

Peniaga, pekerja swasta disaran ambil penangguhan bayaran 6 bulan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 8 Ramadan 1441H, Jumaat – Rakyat tidak boleh menyalahkan institusi perbankan dalam mengenakan kadar faedah tambahan ke atas pelanggan pinjaman sewa beli yang memilih untuk mengambil moratorium selama enam bulan dari 1 April sehingga 30 September 2020.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, bank adalah entiti perniagaan, di mana punca pendapatannya adalah daripada faedah pinjaman yang dikenakan.

Meskipun Bank Negara Malaysia (BNM) mengakui terlepas pandangan mengenai isu ini sehingga menimbulkan kekeliruan, beliau berkata, rakyat juga tidak sepatutnya mengkritik langkah pihak bank dalam menyelaras pelaksanaan moratorium itu.

“Moratorium adalah untuk menangguhkan bayaran (pokok dan faedah) selama enam bulan. Dalam tempoh itu, pinjaman ditangguh dan disambung atau dipanjangkan tempoh bayaran selepas tempoh asal tamat. Begitu juga dengan faedah.

“Contoh, katakan ansuran kereta ialah RM1,400 sebulan sebulan selama 84 bulan (7 tahun). Daripada jumlah itu, RM1,200 adalah bayaran pokok dan RM200 adalah faedah yang dikenakan.

“Selepas tamat 84 bulan akan ditambah enam bulan lagi bayaran balik sebab telah tertangguh ketika PKP ini menjadikan 90 bulan semuanya. Faedah RM200 x enam bulan = RM1,200, dan jumlah ini akan dibahagi kepada 84 bulan bayaran balik iaitu RM1,200/84 = RM14.30 sebulan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Abu Sofian berkata, sebelum pelaksanaan PKP ansuran kereta berkenaan adalah RM1,400 sebulan, tetapi mulai bulan Oktober, ansuran akan menjadi RM1414.30.

Justeru, beliau mengharapkan rakyat peka dan cakna dengan sebarang makluman yang dikeluarkan pihak BNM berkenaan moratorium supaya tidak timbul kekeliruan serta salah faham.

“Moratorium ini adalah sukarela, siapa yang ada kemampuan atau tiada masalah kewangan tak perlu ambil pun tak mengapa. Tetapi, bagi mereka yang ada kesulitan ketika PKP ini, ambillah supaya wang itu dapat digunakan.

“Yang berniaga atau bekerja swasta harus ambil kerana kemungkinan mereka perlu cuti tanpa gaji atau diberhentikan. Jadi, duit moratorium boleh membantu perbelanjaan keluarga.

“Sebenarnya, setiap individu perlu membuat pengiraan sendiri mengenai perbelanjaan isi rumah masing-masing dan tak perlu terikut-ikut orang lain, kerana lain rumah lain periuknya,” katanya.

Terdahulu, pelanggan pinjaman sewa beli yang memilih untuk mengambil moratorium selama enam bulan dari 1 April hingga 30 September 2020 akan mempunyai pilihan dari segi pembayaran balik.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) berkata, pelanggan yang berkaitan boleh memilih untuk membayar ansuran terkumpul enam bulan yang ditangguhkan bersama ansuran Oktober 2020 mereka tanpa dikenakan sebarang faedah tambahan atau meneruskan pembayaran balik ansuran ini selepas Oktober 2020 melalui lanjutan enam bulan tempoh pembayaran balik selepas tarikh matang asal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close