Berita Utama

Normal baharu pekerjaan sektor awam, swasta

Digalakkan pekerja bekerja dari rumah selain penggiliran jadual

KUALA LUMPUR, , 8 Ramadan 1441H, Jumaat – Sektor awam dan swasta yang akan kembali beroperasi mulai Isnin ini, akan menyaksikan normal baharu pekerjaan, antara lain mengalakkan pekerja untuk bekerja dari rumah selain penggiliran jadual harian bekerja.

Langkah itu dibuat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membolehkan pembukaan semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati untuk memastikan penularan COVID-19 terus dibendung.

Bagi sektor awam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan menggalakkan penjawat awam bekerja dari rumah kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat.

Beliau berkata mesyuarat juga digalakkan diadakan secara dalam talian menggunakan medium yang selamat dan bagi mereka yang mempunyai kesulitan penjagaan anak-anak di rumah, kerajaan membenarkan penggiliran pekerja selain melaksanakan waktu bekerja anjal.

“Saya minta supaya semua Ketua Jabatan mengadakan perbincangan di peringkat jabatan masing-masing untuk menyusun semula keperluan sumber manusia di jabatan dengan mengutamakan konsep bekerja dari rumah,” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja hari ini.

Merujuk sektor-sektor ekonomi yang dibuka, Muhyiddin berkata majikan digalakkan membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah selain menyusun jadual hari bekerja secara selang-seli antara di pejabat dan di rumah.

“Saya fikir ini juga boleh menyelesaikan masalah penjagaan anak. Walaupun pusat-pusat penjagaan kanak-kanak akan dibuka dengan mengamalkan SOP (Prosedur Operasi Standard) kesihatan yang tertentu, saya tahu ramai ibu bapa yang bimbang untuk menghantar anak-anak mereka.

“Jadi, kalau majikan boleh memberi sedikit kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang bekerja untuk datang ke tempat kerja secara selang-seli atau every alternate days, ini boleh membantu menyelesaikan masalah penjagaan anak,“ katanya.

Perdana Menteri berkata langkah itu secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah kanak-kanak di pusat penjagaan selain memudahkan penjaga mengurus kanak-kanak mengikut SOP kesihatan yang ditetapkan.

“Jadi saya nak minta tolong dengan majikan jika boleh benarkan pasangan suami isteri yang ada keperluan untuk menjaga anak-anak kecil di rumah supaya dibenarkan bekerja every alternate days atau bekerja dari rumah,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button