Berita Utama

Pak Salleh boleh buka semula restoran ikut SOP

Pastikan meja disusun dengan jarak 2 meter antara setiap meja

PUTRAJAYA, 8 Ramadan 1441H, Jumaat – Kisah Pak Salleh yang mengusahakan restoran mi kolok di Kuching, Sarawak, dijadikan contoh oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menerangkan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menerusi PKPB yang sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai Isnin ini, beliau berkata Pak Salleh boleh ke restoran untuk membersihkan alat memasak, menyusun meja dan kerusi, serta membeli stok barang mentah bagi membuka semula perniagaannya.

“Pastikan meja disusun dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter antara setiap meja supaya di tengah-tengahnya ada ruang yang agak luas untuk pelanggan dan pekerja lalu, dan ada jarak yang selamat antara pelanggan yang makan di situ.

“Untuk pastikan jarak sosial ketika pelanggan makan, Pak Salleh boleh letak notis di setiap meja hanya satu orang, dua orang atau tiga orang dibenarkan makan bergantung kepada saiz meja.

“Kalau meja kecil, mungkin satu orang atau dua orang sahaja dibenarkan. Kalau meja besar, mungkin tiga orang atau empat orang. Ini Pak Salleh kena tentukan,” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja yang disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan, hari ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close