Berita Utama

Pelaksanaan PKPB ‘terlalu awal’ : Netizen

Bimbang PKP dilalui jadi sia-sia jika berlaku gelombang kedua

BANGI, 8 Ramadan 1441H, Jumaat – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menjadi topik perdebatan netizen susulan bimbang usaha yang telah dilaksanakan bagi membendung penularan wabak COVID-19 sebelum ini menjadi sia-sia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memaklumkan hampir semua aktiviti ekonomi akan dibenarkan beroperasi secara terkawal dan berhati-hati menjelang pelaksanaan PKPB yang bermula 4 Mei ini.

Jelas beliau, kebenaran itu tertakluk kepada syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi. Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.

“Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran,” katanya.

Pengguna media sosial dikenali Linda Hussin berpandangan, kerajaan memberi kelonggaran kepada banyak sektor untuk beroperasi kerana memikirkan kesan yang akan datang.

Justeru sewajarnya rakyat Malaysia mengambil kesedaran dan menyokong serta mengikut SOP yang ditetapkan, katanya.

“Kita hendakkan suasana yang bebas dari COVID-19. Kerajaan sudah dengar rungutan pelbagai masalah. Yang jauh dari anak. Nak balik. Tersangatlah sedih. Orang yang tak mengalami, senanglah cakap. Jadi kita kena sama-sama jaga jarak dan kesihatan.

“Semoga Majlis Keselamatan Negara (MKN) ada garis panduan untuk kita pulang jumpa anak dan keluarga selepas ini,” katanya.

Sementara Marsha Mar pula meminta, orang ramai akur kata menteri memandangkan ada sebab kerajaan memberi kelonggaran di samping melihat kepada statistik kes COVID-19.

“Keputusan apa yang beliau buat itulah terbaik,” katanya.

Meskipun begitu, Fiza Fizaa berpendapat bahawa PKP sesuai diberi sedikit kelonggaran sekiranya rakyat 100 peratus boleh patuh dan mengikut arahan.

“Saya cadangkan teruskan PKP fasa keempat seperti dirancang kerana pihak kerajaan perlu teliti semula tentang PKPB ini. Bagi saya 4 Mei terlalu awal. Lagi selamat sektor yang berkenaan diminta lakukan persediaan SOP yang ditetapkan itu pada 4 Mei nanti dan habis PKP fasa keempat, barulah laksanakan PKPB ini,” saran Abdul Hafiz.

“Mari tengok 4 Mei ini dan seterusnya. Jika kes meningkat secara drastik, PKP yang kita lalui dari 18 Mac menjadi sia sia. Saya takut gelombang kedua saja,” demikian pula luah Do Re Mi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button