Berita UtamaPendapat

Hukuman Islam didik pesalah, bukan seksa

Seks luar tabii tak diterima di Malaysia, dikanun sebagai jenayah

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan memang telah dijangka kerana Malaysia mempunyai dua sistem perundangan iaitu Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Keunikan ini hanya ada pada negara kita sahaja, tidak seperti negara lain yang kebanyakannya hanya mempunyai satu sahaja jenis mahkamah iaitu Mahkamah Sivil.

2. Jabatan yang terbabit dengan isu itu adalah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), yang mempunyai hak untuk membuat pendakwaan kesalahan jenayah syariah di Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun, bagi isu amalan seks luar tabii oleh kaum Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), terdapat juga peruntukan di dalam Perkara 377 Kanun Keseksaan dalam Mahkamah Sivil.

3. Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa kesalahan jenayah liwat (seks di luar tabii) yang terkandung di dalam Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (EJS 1995) adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

4. Namun, ini tidak bermakna kisah itu sudah terhenti setakat itu sahaja, sebab dalam amalan perundangan di Malaysia masih terdapat ruang untuk mengenakan tindakan atas kesalahan melampau luar tabii ini, kerana Malaysia tidak mengiktiraf seks luar tabii yang dijenayahkan dalam Kanun Keseksaan dan pelaku masih boleh didakwa di Mahkamah Sivil.

5. Dalam peruntukan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Bahagian IV – Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesusilaan, Seksyen 15. Liwat iaitu; Mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

6. Undang-undang diwujudkan untuk mengatur kehidupan dan mendidik rakyat supaya mencapai kedamaian dalam negara.

Kesalahan dan perlakuan jenayah tetap akan didakwa sama ada dalam Sivil untuk semua atau Syariah bagi pesalah Muslim.

Untuk itu, dalam bagi kesalahan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu sesiapa yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela, akan dihukum penjara maksima 20 tahun, termasuk sebatan.

7. Tidak dinafikan ada baiknya pandangan sesetengah yang melihat keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan sebagai langkah ‘moving forward’ ke arah mengharmonikan Undang-Undang Syariah dengan Undang-Undang Sivil.

Dalam hal ini, amalan gay, seks songsang, seks luar tabii, sumbang mahram dan sebagainya tidak diterima di Malaysia dan sudah dikanunkan sebagai jenayah yang boleh didakwa di bawah perundangan sedia ada.

8. Di sinilah pakar perundangan kedua belah pihak perlu duduk semeja berbincang dengan peruntukan perlembagaan sedia ada.

Ianya bagi mengharmonikan kedua-dua set perundangan ke arah memastikan penjenayah tetap didakwa atas kesalahan yang dilakukan. Ini kerana peruntukan hukuman dalam syariah lebih ringan daripada peruntukan hukuman dalam sivil.

9. Rakyat mesti faham bahawa Rukun Negara menegaskan Perlembagaan dengan Prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

Ini bertepatan dengan Perkara 3(1) yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Perserutuan; Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) memelihara Islam dalam Perkara 37(1) dan Kedaulatan watan dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Negara.

10. Penjawat awam melaksanakan fungsi eksekutif berpunca daripada kuasa eksekutif YDPA.

Kegagalan mentaati Yang di-Pertuan Agong yang sudah bersumpah memegang jawatan dalam Perkara dengan lafaz “Wallahi, Wabillahi, Wattallahi untuk “…memeliharakan pada setiap masa Agama Islam…” tidak melayakkan diri memegang amanah untuk menjalankan fungsi eksekutif berkenaan.

11. Dalam Islam, hukuman diperuntukkan bukannya bertujuan untuk menyeksa pesalah, sebaliknya untuk mendidik dan menyedarkan bahawa kesalahannya itu boleh memyebakan ketidakstabilan sosial dikalangan masyarakat, yang bukan hanya berbilang bangsa dan kaum, tetapi juga melanggar tabii sifat manusiawi.

Oleh itu, Islam meletakkan sesuatu hukuman itu sebagai pengajaran dan iktibar bagi yang lain mengambil pengajaran.

Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media MUAFAKAT
Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button