Berita Utama

PKP: Negara dianggarkan rugi RM63 bilion

Jumlah kerugian itu adalah kira-kira RM2.4 bilion setiap hari

BANGI, 8 Ramadan 1441H, Jumaat – Jumlah kerugian yang dialami negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dianggarkan kira-kira RM63 bilion.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah kerugian itu adalah kira-kira RM2.4 bilion setiap hari.

“Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara kita akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion.

“Jadi, saya sudah berbincang secara panjang lebar mengenai perkara ini dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan mesyuarat Jemaah Menteri.

“Kita mesti cari jalan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung COVID-19,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Muhyiddin berkata, atas dasar itu, kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan membenarkan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi mulai 4 Mei ini.

Ini kerana, beliau berkata, kerajaan mempunyai perancangan jelas dalam memerangi pandemik Covid-19 dan menghadapi krisis ekonomi Kerajaan menggunakan strategi merangkumi enam pendekatan.

“Ia adalah ketegasan dalam tindakan mengawal penularan COVID-19 dengan melaksanakan PKP, membina ketahanan melalui pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN, menjana semula secara teratur dan terkawal, melaksanakan strategi pemulihan dalam menghadapi norma baharu.

“Selain itu, memperkasa ekonomi secara menyeluruh demi kelangsungan masa hadapan dan menyusun semula struktur ekonomi untuk membolehkan negara dan rakyat melangkah ke era kehidupan yang sudah berubah dengan adanya ‘norma baharu’.

“Alhamdulillah, pendekatan pertama dan kedua sudah membuahkan hasil. Kini, kita bersedia untuk memulakan pendekatan ketiga.

“Ini penting kerana pekerjaan dan perniagaan adalah sumber pendapatan serta mata pencarian. Kalau terlalu lama berada dalam PKP terputuslah mata pencarian dan ini memberi kesan yang buruk kepada kedudukan kewangan masing-masing.

“Begitu juga bagi negara kita. Terhenti aktiviti ekonomi bermakna terhentilah sumber pendapatan negara. Cukai tidak boleh dikutip, industri tidak boleh berkembang, pertumbuhan ekonomi terencat dan yang paling ingin kita elakkan ialah lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup dan ramai pekerja kehilangan pekerjaan,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close