Berita Utama

PKPB: Mohon pertimbang longgar syarat untuk beribadah

Untuk umat Islam, penganut agama lain ikut SOP atau garis panduan tertentu

BANGI, 8 Ramadan 1441H, Jumaat – Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mengalu-alukan keputusan kerajaan memberi kelonggaran bersyarat dalam sektor ekonomi.

Beliau menyifatkan tindakan itu akan memberi kelegaan kepada banyak sektor dan pekerja di dalam negara.

Selain memberi kelonggaran dalam sektor ekonomi, Zainul menyarankan kerajaan mempertimbangkan kelonggaran bagi penganut agama untuk melakukan ibadah.

“Mohon juga dipertimbangkan kelonggaran bersyarat bagi umat Islam dan penganut agama lain mengamalkan ibadah dengan digarap prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan tertentu bagi mengelakkan penularan COVID-19.

“Bagi agama Islam kita tidak kurang pakar agama yang boleh memberikan pandangan di dalam amalan agama,” katanya menerusi akaun Facebook.

Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, dalam melaksanakan PKPB ini, aktiviti dan perhimpunan ramai yang mendedahkan risiko jangkitan COVID-19 masih tidak dibenarkan.

“Langkah itu susulan dua daripada enam strategi dan perancangan kerajaan dalam memerangi wabak iaitu ketegasan dalam tindakan mengawal COVID-19 dan membina ketahanan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin telah membuahkan hasil,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sedia membuka semula aktiviti ekonomi secara terkawal dan berhati-hati di bawah PKPB.

“Sektor yang akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bermula 4 Mei ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close