Berita Utama

Rohingya: Jangan pentingkan diri hingga lupa hak kemanusiaan

Pelarian Rohingya tak boleh dilayan seperti jenayah selagi tidak buat kesalahan

BANGI, 8 Ramadan 1441H, Jumaat – Meskipun negara berdepan dengan sumber ekonomi yang terhad susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19, rakyat tidak boleh menidakkan hak asasi serta sifat kemanusiaan terhadap pelarian Rohingya.

Exco Hak Asasi dan Undang Undang Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Fatihah Jamhari berkata, sebagai rakyat Malaysia, salah satu perkara yang perlu dibanggakan adalah sifat perikemanusiaan yang tinggi.

Buktinya, Malaysia adalah negara yang paling awal memberikan bantuan kepada pihak memerlukan walaupun di luar sempadan negara, katanya.

“Sebagai contoh apabila berlaku bencana alam di Acheh atau Bosnia sebelum ini, Malaysia adalah antara negara paling awal memberi bantuan kerana kita mempunyai sifat perikemanusiaan itu.

“Suka saya tekankan bahawa rakyat Malaysia ini satu rakyat bangsa yang majlis. Kita sukakan rasa kemanusiaan yang tinggi,” katanya dalam ketika temu bual Ekslusif TV Pertiwi hari ini.

Pada masa sama, Fatihah mengakui memahami keadaan ekonomi sekarang yang tidak berapa ‘cantik’, bagaimanapun katanya keadaan itu tidak hanya berlaku di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Bahkan beliau mengingatkan, rakyat untuk tidak mengambil sikap pentingkan diri sehingga lupa tanggungjawab sesama manusia dan pada masa sama beliau tegasnya sebarang keputusan untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan perlu dihormati.

Ketika ditanya sama ada kehadiran pelarian Rohingya akan mengancam keselamatan negara, Fatihah menegaskan bahawa pelarian Rohingya tidak boleh dianggap sebagai penjenayah selagi mereka tidak melakukan sebarang jenayah.

“Sukar untuk dikatakan bahawa kehadiran pelarian Rohingya mengancam keselamatan negara. Jika saya katakan ya, kita memberi andaian bahawa mana-mana orang yang bukan rakyat Malaysia yang berada di dalam sempadan negara adalah ancaman kepada negara.

“Dalam erti kata, betul, tetapi itu hanyalah andaian. Sehingga mereka melakukan jenayah, kita tidak boleh menganggap mereka sebagai penjenayah. Kita tidak boleh layan mereka seperti penjenayah sehinggalah mereka melakukan kesalahan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button