Berita Utama

Geng curi tong gas di Gombak tumpas

Suspek ditahan reman 5 hari, kes disiasat ikut 457 Kanun Keseksaan

GOMBAK, 9 Ramadan 1441H, Sabtu – Polis berjaya mematahkan kegiatan mencuri tong gas di sekitar Gombak susulan penahanan lima ahli kumpulan itu semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe berkata, kesemua individu yang ditahan berusia lingkungan 26 hingga 40 tahun dan suspek telah menjadikan kedai dobi, taska serta restoran sebagai sasaran.

Beliau berkata, penahanan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima berhubung kehilangan 20 tong gas dalam kejadian pecah masuk sebuah restoran di Taman Industri Bolton di sini pada 8 pagi, Khamis lepas.

“Pemeriksaan kamera litar tertutup di lokasi kejadian mendapati tiga lelaki sedang mengangkat tong gas ke dalam sebuah van jenis Nissan Vanette sebelum melarikan diri.

“Kami melancarkan operasi dan berjaya menahan tiga lelaki pada hari sama laporan itu diterima, sebelum membawa kepada penahanan dua lagi rakan suspek semalam di sekitar Selayang Baru,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Arifai berkata, pihaknya turut merampas 36 tong gas yang dipercayai dicuri dan belum sempat dijual.

“Kita percaya dapat menyelesaikan 14 kes pecah kedai dobi, taska dan restoran yang melibatkan kumpulan penjenayah ini,” katanya sambil menambah bahawa kesemua suspek ditahan reman lima hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button