Berita Utama

Hanya satu sekatan di Labuan mulai Isnin

Fokus kepada penguatkuasaan pematuhan jarak sosial

LABUAN, 9 Ramadan 1441H, Sabtu – Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan akan mengurangkan sekatan jalan raya (SJR) kepada satu berbanding tiga sebelum ini selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Labuan, Supt. Muhamad Farid Ahmad berkata, susulan beberapa kelonggaran berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, pihaknya kini memfokus kepada penguatkuasaan pematuhan jarak sosial.

Buat masa ini, polis Labuan mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Tun Mustapha, Jalan Patau-Patau dan Sungai Bangat, sebagai langkah mengawal penularan wabak COVID-19.

“Kami akan memutuskan antara salah satu lokasi sekatan jalan raya sedia ada dikekalkan atau ubah ke lokasi baharu,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemergian pelajar Kolej Matrikulasi Labuan ke kampung halaman mereka di Sarawak di Terminal Feri Antarabangsa Labuan, di sini, hari ini.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan akan mengurangkan SJR mulai Isnin ini dan akan memfokus kepada penguatkuasaan pematuhan jarak sosial selain mengekang kemasukan pendatang tanpa izin serta kegiatan penyeludupan. –Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button