Berita UtamaDuniaPendapat

Isu Rohingya: Apakah Konvensyen Pelarian 1951?

Isu utama Myanmar yang sendiri lakukan penghapusan etnik di Arakan

BARU-BARU ini kita dihebohkan dengan berita sikap segelintir pelarian Rohingya di Pasar Selayang sehinggalah kepada isu kerajaan Malaysia tidak menerima kemasukan 2 bot penuh pelarian Rohingya ke Malaysia. Perkara ini menjadi tumpuan golongan aktivis kemanusiaan daripada pelbagai negara kerana bagi mereka, alasan COVID-19 bukan basis yang kuat untuk membiarkan golongan ini terkapai-kapai di tengah lautan.

Maka banyaklah portal berita antarabangsa dan laman web aktivis hak asasi mengecam tindakan Malaysia. Walhal, sejak 2012 lagi kita sudah menerima hampir 80,000 orang pelarian Rohingya di Malaysia dan bilangan ini meningkat ke hampir 100,000 lebih pelarian Rohingya yang berada di Malaysia. Antara hujah yang digunakan oleh mereka adalah kerana Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951(Refugees Convention 1951).

Jadi apakah sebenarnya Refugees Convention 1951 ini dan apa kaitannya dengan pelarian Rohingya? Jika anda perasan, bila kita bercakap mengenai pelarian Rohingya, secara rasminya kita tidak gunakan istilah pelarian. Kita akan guna istilah PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin) atau ‘illegal immigrant’.

Sebenarnya, PBB sudah sediakan satu set undang-undang antarabangsa khusus berkenaan dengan pelarian (refugees) dan pencari suaka (asylum seeker) iaitu Konvensyen Pelarian 1951. Konvensyen ini bertunjangkan kepada Artikel 14 dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of human right).

Mengikut sejarah, tertubuhnya konvensyen ini disebabkan oleh kesan perang dunia kedua. Perang dunia kedua telah menyebabkan ratusan ribu orang awam menjadi mangsa pelarian. Mereka dari pelbagai negara telah dinafikan hak asasi seperti tempat tinggal, kesihatan, pendidikan, dan kerakyatan.

Jadi, bagi menjaga hak asasi pelarian akibat daripada peperangan, PBB telah mengadakan konvensyen ini dan telah ditandatangani oleh 147 negara (2010). Hanya 2 negara anggota ASEAN yang telah meratifikasi konvensyen ini iaitu Filipina dan Kemboja. Malaysia merupakan negara yang tidak meratifikasi konvensyen ni.

Maka, Refugees Convention 1951 sudah menggariskan panduan dan menyenaraikan apa jenis hak asasi manusia yang akan terpelihara apabila pelarian-pelarian ini lari ke negara yang sudah menandatangani konvensyen.

Pelarian ini tidak akan dikira sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan secara tidak langsungnya mereka semua ini tak boleh diambil apa-apa tindakan berkaitan dengan kemasukan ke negara secara haram. Perkara paling penting ialah negara yang menumpangkan pelarian-pelarian ini tak boleh hantar mereka pulang ke negara asal kerana kemungkinan besar mereka berisiko dibunuh dan undang-undang ini terpakai tanpa mendiskriminasikan bangsa, agama dan negara asal pelarian tersebut mengikut kepada Artikel 3 Konvensyen Pelarian 1951.

Secara umumnya, Malaysia boleh dikatakan aktif dalam menjaga hak asasi pelarian walaupun tidak termasuk dalam senarai negara yang meratifikasikan konvensyen Pelarian. Sejak tahun 1970-an lagi, Malaysia sudah menerima pelarian dari Mindanao, Kemboja, Vietnam, Bosnia, Acheh, Palestin dan kini Myanmar.

Mungkin pembaca pernah dengar tentang sejarah Pulau Bidong di Terengganu yang disediakan khas oleh kerajaan Malaysia untuk menempatkan sejumlah pelarian dari Vietnam. Jadi tiada masalah bagi Malaysia untuk mengendalikan isu pelarian ini walaupun tidak meratifikasikan konvensyen pelarian ini.

Hal ini kerana sebagai negara yang merdeka dan berdaulat kita tidak perlu terburu-buru untuk meratifikasikan semua konvensyen antarabangsa yang bertentangan dengan budaya, agama dan norma masyarakat Malaysia. Kita tidak perlu terlampau mengikuti dan terkongkong dalam kerongkong PBB yang secara umumnya amat selektif dalam menyelesaikan beberapa isu.

Sebagai contoh walaupun Myanmar merupakan antara negara yang meratifikasikan Konvensyen Genosid 1948, tetapi mereka jugalah yang ‘membantai’ etnik Rohingya dan PBB mengambil masa yang begitu lama dalam mengatasi masalah ini. Pokok permasalahan kepada isu Rohingya ini pada Myanmar sendiri yang melakukan penghapusan etnik di Arakan.

Justeru, apa yang perlu dilaksanakan oleh Malaysia pada masa ini memperjelaskan dasar dan polisi terhadap pelarian-pelarian yang ada di Malaysia ini. Hal ini kerana, Malaysia tiada status yang jelas berapa lamakah pelarian-pelarian ini akan tinggal, adakah mereka akan memperoleh kerakyatan atau adakah mereka akan dihantar ke negara lain yang akan memberikan mereka kerakyatan.

Muhamad Iqbal bin Azmi
Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button