Berita UtamaDunia

Jong Un ‘muncul’ selepas 20 hari

PYONGYANG, 9 Ramadan 1441H, Sabtu – Selepas hampir 20 hari spekulasi mengenai keadaan kesihatan, Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, membuat penampilan pertama dalam khalayak awam, lapor media negara itu hari ini.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan, Jong Un menghadiri majlis perasmian pembukaan sebuah kilang baja di Suncheon, berhampiran ibu kota Pyongyang bersama pegawai kanan lain termasuk adiknya, Kim Yo Jong.

Laporan itu tidak dapat disahkan secara bebas dan foto dari majlis itu tidak segera dikeluarkan.

Ketiadaan Jong Un selama hampir tiga minggu mencetuskan spekulasi dan khabar angin bahawa beliau sakit parah.

Pemimpin Korea Utara itu tidak muncul dalam khalayak ramai sejak mesyuarat Parti Pekerja berhubung pencegahan coronavirus pada 11 April lalu, manakala media negara pada keesokan harinya melaporkan bahawa beliau membuat pemeriksaan pesawat di unit pertahanan negara.

Bahkan Jong Un tidak menghadiri upacara sambutan memperingati hari lahir datuknya, Kim II-Sung, pada 15 April, untuk pertama kalinya sejak mengambil alih kuasa pada tahun 2011.

Tanpa menyiarkan gambar, media melaporkan bahawa Jong Un melakukan aktiviti rutin di luar pandangan orang ramai, seperti mengirim salam kepada pemimpin Syria, Cuba dan Afrika Selatan

Selain itu beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pekerja yang membina kemudahan pelancongan di bandar pesisir Wonsan, di mana spekulasi tempat Jong Un menetap. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button