Berita Utama

Kerajaan takkan kompromi, terus buru dalang MyKad palsu

JPN telah buat laporan polis isu iklan, jual IC palsu dalam talian

PUTRAJAYA, 9 Ramadan 1441H, Sabtu – Kerajaan memandang serius kes-kes membabitkan pemalsuan kad pengenalan (MyKad) sama ada melibatkan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ataupun sindiket tertentu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sebuah pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kes pemalsuan MyKad bagi memburu dalang-dalang yang terlibat.

“PDRM dan JPN akan terus bekerjasama melalui ‘Ops Biru’. Kerajaan tidak akan sama sekali melindungi dan berkompromi terhadap sebarang salah laku berkenaan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil maklum bahawa belakangan ini terdapat banyak terbitan atau posting di media sosial berkenaan MyKad palsu.

Hamzah berkata, semua kenyataan dan gambar yang dimuat naik telah diteliti serta disemak oleh kementerian melalui JPN.

“Berkenaan satu laman sesawang yang mengiklan dan menjual MyKad palsu dalam talian satu laporan polis telah dibuat oleh JPN pada 1 Mei 2020. Siasatan dan tindakan lanjut bakal diambil oleh PDRM terhadap jenayah pemalsuan MyKad yang mencemarkan nama baik JPN.

“Selain daripada kes tersebut kementerian ingin menjelaskan bahawa gambar-gambar MyKad yang tular di media sosial pada ketika ini adalah gambar lama yang telah dimuat naik semula.

“Gambar-gambar tersebut mempunyai kaitan dengan kes pemalsuan MyKad di Pulau Pinang pada tahun 2019. Bagaimanapun tiada gambar dan maklumat permohonan MyKad yang baharu dapat dikenalpasti,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa PDRM telah membuat tangkapan terhadap individu-individu yang terlibat dengan kes pemalsuan MyKad di Pulau Pinang dan semua tertuduh sedang menjalani prosiding perbicaraan di mahkamah

Katanya, ekoran daripada penularan gambar-gambar lama tersebut terdapat juga desakan oleh beberapa pertubuhan dan individu tertentu yang menggesa kerajaan menukarkan MyKad sedia ada kepada MyKad baharu bagi menangani pemalsuan MyKad.

“Dalam hal ini JPN dari semasa ke semasa sentiasa mengkaji penambahbaikan dan pembaharuan terhadap MyKad khususnya dari segi aspek ciri-ciri keselamatan.

“JPN juga telah menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan mengetatkan proses semakan dan kelulusan dokumen pengenalan diri di samping memantapkan lagi pemantauan dalam sistem JPN,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memohon orang ramai untuk segera menghentikan penyebaran mesej-mesej yang bersifat berita palsu di media sosial bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan rakyat.

“Tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Bagaimanapun sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat terkini mengenai sindiket atau kegiatan pemalsuan MyKad, mereka boleh terus melakukan balas kepada KDN PDRM atau JPN secara langsung,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

One Comment

  1. Harap kenyataan Menteri KDN ini benar2 serius dan bersungguh2, jangan hanya retorik semasa netizen bising kemudian sejuk macam taik ayam. Perkara ini patut dijadikan agenda utama selepas PKP berakhir dan melibatkan PDRM, ATM dan SPRM. Jabatan Pendaftaran Negara tidak perlu dilibatkan kerana dalang2 yang menjual MyKad dan Pasport Malaysia adalah orang2 dalam jabatan tersebut sendiri. Biar agensi penguatkuasa luar yang menyelongkar dari Ketua Pengarah hingga ke Budak Pejabat JPN di seluruh negara. Dan jangan lupa siasat kerajaan DAP P Pinang yang dulu pernah mendakwa mengeluarkan MyKad konon ada hak berbuat demikian, Juga jangan lupa menyiasat Kedutakaan2 Malaysia di Peking dan di Delhi seperti yang pernah disaran oleh YB Tuan Ibrahim Tuan Man. Libatkan pakar2 dan jurutera2 jenayah komputer untuk menyaring data2 pendaftaran dan penerima MyKad terutama sebaik saja Pakatan Harapan menjadi kerajaan. Bagi pelancung2 China dan India yang terkandas kerana Lockdown, beri mereka moratorium satu bulan untuk keluar secara sukarela atau jika enggan dipenjara 5 hingga 10 tahun sebagaimana negara2 lain lakukan kepada pendatang2 tanpa izin ini. Rakyat akan sentiasa memerhati kesungguhan KDN dalam isu ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close