Berita Utama

Najib bimbang kemasukan PATI meningkat selepas Hari Raya

BANGI, 9 Ramadan 1441H, Sabtu – Pengawalan sempadan negara bagi mengelakkan berlakunya kes import COVID-19 memerlukan kerjasama dari semua pihak khususnya penduduk tempatan di sempadan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beranggapan bahawa kawalan sempadan negara merupakan antara keutamaan paling penting untuk membendung COVID-19 memandangkan jumlah kes di negara-negara jiran tertentu masih naik dengan mendadak.

Katanya, pihak berkuasa telah berjanji untuk mengetatkan kawalan sempadan untuk menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran.

“Namun ianya susah untuk berharap kepada pihak berkuasa sahaja kerana sempadan negara kita adalah amat panjang. Saya risau kadar kemasukan PATI akan meningkat selepas Hari Raya.

“Sebab itu, kita perlukan tahap kerjasama daripada orang awam pada tahap yang paling tinggi – terutamanya masyarakat tempatan di sempadan yang lebih mengetahui apa yang berlaku di halaman mereka,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Pada masa sama, Najib yang masih berdepan pertuduhan di mahkamah turut meminta masyarakat tempatan di sempadan untuk berhubung dengan pihak berkuasa dengan segera jika mereka ada maklumat tentang kegiatan kemasukan PATI.

“Mereka ada tanggungjawab dan peranan yang penting dalam perang COVID kita,” katanya.

Pengawalan ketat di sempadan adalah satu kunci yang perlu bagi memastikan tidak berlakunya kes import COVID-19, walaupun kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bagi membolehkan aktiviti ekonomi dimulakan semula pada 4 Mei ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sebelum ini menegaskan bahawa kawalan sempadan faktor paling penting mengawal penularan COVID-19 dan perlu diperketat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4.

“Kita harus kekalkan semua tindakan dan yang pasti, kita perlu kerjasama rakyat iaitu tanggungjawab dan disiplin sosial untuk mengamalkan jarak selamat dan menjaga kebersihan diri.

“Berbanding di negara lain, apabila mereka tamatkan PKP contohnya, mereka tamatkan juga kawalan sempadan. Bagaimanapun, kita belum tamatkan lagi PKP dan memperketatkan lagi kawalan sempadan,” katanya.

Tugas mengawal dan menjaga keseluruhan sempadan negara bukanlah suatu yang mudah, dengan kira-kira 3,000 kilometer (KM) sempadan daratan dan sempadan perairan lebih 4,600 kilometer (km) yang Malaysia kongsi bersama negara jiran Thailand, Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina dan juga Vietnam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close