Berita Utama

Operasi besar-besaran buru PATI

Sukar kesan pendatang asing dijangkiti wabak kerana tiada dokumen sah

KUALA LUMPUR, 9 Ramadan 1441H, Sabtu – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan operasi besar-besaran bersama agensi keselamatan dan penguatkuasaan lain bagi memburu pendatang tanpa izin semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, operasi berkenaan dilaksanakan juga bertujuan membendung dan menyekat penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Beliau berkata, pendatang asing tanpa izin sukar dikesan jika dijangkiti wabak COVID-19 berikutan tidak mempunyai sebarang dokumen sah dan mampu menyebabkan penularan wabak tersebut apabila mereka bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi lain.

“Selagi PKP masih dilaksanakan, polis tidak akan membiarkan mana-mana pihak yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah bergerak bebas.

“Jadi itulah tujuan utama Jabatan Imigresen melakukan operasi besar-besaran secara bersepadu hari ini bersama PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dibantu Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan operasi di beberapa lokasi di ibu negara, hari ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sukar untuk mengesan kontak mana-mana pendatang tanpa izin yang dijangkiti wabak itu kerana tiada dokumen perjalanan sah dan pada masa sama, telah menyebarkan virus berkenaan kepada orang lain seterusnya mampu mewujudkan kluster baharu.

“Berbanding warga asing yang berada di negara ini secara sah, mereka ini mudah dikesan kerana pihak berkuasa mempunyai maklumat tentang lokasi kediaman serta tempat kerja selain mengetahui butiran majikan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata sekiranya pendatang tanpa izin itu ditahan, mereka akan dikumpulkan sekali gus memudahkan pihak berkuasa mengawal pergerakan mereka selain menjaga mereka di satu lokasi yang sudah ditetapkan sehinggalah tempoh PKP berakhir.

“Apabila tempoh PKP berakhir kelak, maka terpulang kepada kerajaan untuk memutuskan sama ada untuk meneruskan tindakan susulan mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen atau mengusir mereka kembali ke negara asal melalui proses-proses yang ditetapkan sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Imigresen dan agensi penguatkuasaan lain melakukan serbuan di sekitar kawasan Masjid India, di sini, pagi tadi dan menahan ratusan pendatang tanpa izin yang tinggal di kawasan terbabit. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close