Berita Utama

Pergerakan dari kampung ke bandar mulai 7 hingga 10 Mei

PKPB bermula Isnin ini, tetapi PKP masih berkuat kuasa: Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 9 Ramadan 1441H, Sabtu – Rakyat Malaysia yang terkandas di kampung halaman dan berhasrat untuk ke bandar boleh berbuat demikian bermula dari 7 hingga 10 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyediakan jadual pergerakan bagi memastikan kelancaran perjalanan berkenaan.

Beliau berkata, kira-kira 500,000 permohonan untuk pulang bekerja telah diterima oleh PDRM.

“Kita akan membenarkan rakyat terperangkap di kampung untuk pulang ke bandar dan sebagainya. PDRM akan membuat kenyataan media mengenai penjelasan yang lebih terperinci mengenai perkara itu,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa dan individu yang melanggar peraturan akan tetap dikenakan tindakan, meskipun PKP Bersyarat (PKPB) akan bermula Isnin ini.

Ismail berkata, polis masih mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu yang melanggar PKP mengikut Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Pelaksanaan PKP tidak ditarik balik walaupun kerajaan mengumumkan mengenai PKPB. Ia (PKPB) cuma dilonggarkan kepada sektor tertentu untuk beroperasi dan tindakan tetap dikenakan kepada mereka yang melanggar peraturan,” katanya seperti di lapor media tempatan.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei.

PKPB membenarkan hampir semua sektor ekonomi beroperasi semula tetapi secara berhati-hati dengan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button