Berita Utama

PKPB: Buat giliran kerja, mesyuarat secara maya

JPA akan keluarkan garis panduan SOP dalam masa terdekat

BANGI, 9 Ramadan 1441H, Sabtu – Ketua jabatan perlu mengambil langkah proaktif dan efektif bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang terbaik kepada rakyat dengan mengutamakan aspek keselamatan serta kebajikan awam mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata, norma baharu budaya kerja perkhidmatan awam itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan pembukaan sektor ekonomi dan awam bermula 4 Mei ini.

“SOP itu antaranya memastikan keberadaan di pejabat kepada pegawai yang perlu. Penggiliran pekerja selain melaksanakan waktu anjal terutama mereka yang mempunyai kesulitan bagi penjagaan anak di rumah.

“Mesyuarat digalakkan diadakan secara maya melalui medium yang selamat dan terjamin dari segi kerahsiaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zuki berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan garis panduan mengenai SOP berkenaan dalam masa terdekat.

“Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan semua arahan dikeluarkan pihak berkuasa mesti dipatuhi. Elemen protokol kesihatan dan keselamatan di pejabat perlu mematuhi penjarakan sosial serta arahan semasa Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Muhyiddin ketika menyampaikan Perutusan Khas sempena Hari Pekerja semalam berkata, kerajaan akan melaksanakan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial mulai Isnin ini.

Ia susulan kerajaan menyedari negara kerugian RM2.4 bilion sehari sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu yang dilanjut hingga 12 Mei ini.

Difahamkan jumlah kerugian yang dialami kerajaan sejak 18 Mac lalu adalah sebanyak RM63 bilion.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button