Berita Utama

Risiko COVID-19 menular secara mendadak boleh berlaku

Wujud penularan sekiranya lalai, alpa dalam amalkan normal baharu

PUTRAJAYA, 9 Ramadan 1441H, Sabtu – Risiko penularan COVID-19 secara mendadak di negara ini masih wujud sekiranya rakyat lalai dan alpa dalam mengamalkan normal baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, oleh itu, kerjasama dan komitmen semua lapisan masyarakat dalam memainkan peranan masing-masing adalah sangat penting bagi memastikan kita berjaya menewaskan wabak tersebut.

“KKM (Kementerian Kesihatan) ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa pandemik COVID-19 ini belum berakhir.

“Secara global, sebanyak 187 negara terkesan dengan jumlah kes positif COVID-19 yang kini mencecah 3,343,777 dengan 238,650 kematian,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di KKM di sini.

Hari ini, jumlah kes baharu positif COVID-19 di Malaysia kembali mencatat tiga angka dengan 105 kes selepas 15 hari berturut-turut mencatat dua angka sejak 17 April lepas.

Beliau berkata, rakyat perlu terus mengamalkan jarakan sosial yang selamat, digalakkan memakai penutup hidung dan mulut terutama di kawasan umum, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan serta mengelak sebarang bentuk perhimpunan.

Susulan lengkung penularan COVID-19 di negara ini telah diratakan, Dr Noor Hisham berkata, hospital kini mempunyai lebih banyak kapasiti dalam merawat lebih ramai pesakit wabak itu.

Misalnya, kata beliau, kadar keseluruhan bagi penggunaan katil di 40 hospital yang dikhususkan bagi merawat COVID-19 dan 26 pusat rawatan COVID-19 berisiko rendah adalah 17 peratus.

“Selain itu, kadar penggunaan bagi katil unit rawatan rapi (ICU) yang dikhususkan untuk pesakit disyaki dan disahkan positif COVID-19 adalah tujuh peratus atau 31 daripada jumlah 422 katil.

“Penggunaan alat bantuan pernafasan pula adalah hanya satu peratus atau 12 daripada jumlah 1,059 alat itu,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close