Berita Utama

Sindiket judi: 19 lagi warga China ditahan, kaut untung RM4.5 juta sebulan

Semua suspek guna pas lawatan sosial untuk datang ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 Ramadan 1441H, Sabtu – Polis menahan 19 warga China termasuk seorang wanita dipercayai terbabit dengan sindiket perjudian dalam talian, menerusi serbuan di dua premis di Jalan Raja Chulan, Selasa lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil siasatan mendapati sindiket menjalankan aktiviti promosi perjudian saham Cryptocurrency di pasaran negara China.

Mereka dipercayai menggunakan aplikasi WeChat dengan mengaut keuntungan sekitar RM4.5 juta sebulan.

“Anggaran keuntungan harian sindiket ini kira-kira RM150,000 sehari bersamaan RM4.5 juta sebulan dan kegiatan dipercayai sudah beroperasi hampir dua bulan di premis mewah yang disewa majikan suspek dengan kadar sewa RM6,000 sebulan,” katanya seperti di lapor Bernama.

Beliau berkata, kesemua suspek menggunakan pas lawatan sosial untuk datang ke Malaysia.

Polis turut merampas set komputer pelbagai jenama dan telefon bimbit dianggarkan bernilai RM200,000.

Kesemua mereka ditahan reman sehingga 12 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Rabu lalu, polis telah menahan 44 warga China termasuk lapan wanita selepas menyerbu empat rumah banglo dipercayai menjadi lokasi aktiviti perjudian dalam talian, di Nilai, Negeri Sembilan.

Sindiket dilaporkan memperdaya pelanggan dengan mengatakan peluang untuk menang permainan itu adalah tinggi dengan menggunakan aplikasi WeChat dan ‘QQ Messenger’.

Minggu lalu , 30 individu warga China juga telah ditahan di sebuah unit kondominium di Bandar Mahkota Cheras selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian.

Sindiket ini menjalankan aktiviti promosi judi dalam talian yang berpusat di Malaysia dengan menggunakan lawan sesawang www.npro11.com dan menyasar mangsa dari China.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close