Berita Utama

Singapura mula longgar syarat pemutus rantaian COVID-19

Benarkan aktiviti ekonomi, perkhidmatan terpilih operasi mulai Selasa

SINGAPURA, 9 Ramadan 1441H, Sabtu – Singapura akan melonggarkan beberapa peraturan pemutus rantaian jangkitan wabak COVID-19 secara berperingkat dengan membenarkan aktiviti ekonomi dan perkhidmatan terpilih kembali beroperasi mulai Selasa ini, menurut pasukan petugas pelbagai kementerian mengenai COVID-19.

Ini berikutan negara republik itu menyaksikan penurunan ketara jangkitan dalam komuniti sejak sebulan lalu.

“Purata jumlah kes baharu harian dalam komuniti menurun lebih separuh iaitu 25 pada minggu sebelumnya kepada 12 kes, minggu lalu,” kata pengerusi bersama pasukan petugas itu, Gan Kim Tong pada sidang media maya di sini, hari ini.

Gan, yang juga Menteri Kesihatan, bagaimanapun, berkata, masih terdapat kes yang tiada kaitan dengan komuniti dan kluster baharu jangkitan akan tercetus jika pihaknya leka serta berhati-hati dengan langkah melonggarkan sekatan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Nasional, Lawrence Wong, berkata, terdapat rancangan untuk membuka semula premis pekerjaan dengan mengambil kira kepentingan ekonomi dan rantaian bekalan, peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan dan kemampuan mengurangkan risiko jangkitan di tempat kerja.

Sehubungan itu, katanya, pasukan petugas itu sedang melakukan persediaan untuk pembukaan semula aktiviti ekonomi dan komuniti secara berperingkat selepas berakhir tempoh pemutus rantaian jangkitan pada 1 Jun ini.

Misalnya, katanya, pengamal perubatan tradisional Cina dibenarkan untuk menyambung semula khidmat akupunktur mulai Selasa ini manakala penduduk di bangunan kediaman berstrata dibenarkan untuk melakukan aktiviti senaman di tempat umum dalam kawasan bangunan dengan mengamalkan penjarakan sosial.

Bagaimanapun, katanya, semua kemudahan rekreasi dan sukan dalam kawasan perumahan swasta seperti taman permainan, kolam renang, gimnasium dan rumah kelab masih ditutup.

Beliau berkata, perniagaan makanan secara kecil-kecilan dari rumah, cawangan kedai makanan, perkhidmatan dobi, kedai gunting dan pendandan rambut dibenarkan beroperasi mulai 12 Mei ini.

Selain itu, pelajar yang akan menduduki peperiksaan nasional, bakal menamatkan pengajian dan pelajar pendidikan teknikal boleh kembali ke sekolah secara kumpulan kecil, mulai 19 Mei ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close