Berita Utama

Skim Moratorium: Tengku Zafrul syor hapus faedah terakru, keuntungan

Menteri Kewangan yakin langkah itu beri impak positif kepada rakyat

BANGI, 9 Ramadan 1441H, Sabtu – Semua institusi kewangan khususnya yang terlibat dalam moratorium disaran mempertimbangkan supaya faedah terakru (bagi pinjaman sewa beli) atau keuntungan (bagi pembiayaan Islam berkadar tetap) dilupuskan sewaktu tempoh enam bulan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam satu kenyataan berkata, menurut Akta Bank Negara 2009, isu ini berada di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun katanya, Kementerian Kewangan telah memulakan langkah proaktif mencari penyelesaian kemelut ini melalui perbincangan bersama BNM dan bank-bank untuk membuat keputusan yang tepat mengikut keperluan rakyat.

“Kami di Kementerian Kewangan bersedia untuk bekerjasama dengan BNM dan sektor perbankan bagi memastikan pelaksanaan saranan ini. Kerajaan sentiasa peka kepada cetusan hati nurani rakyat, terutamanya dari golongan B40 dan M40, dan mengambil berat perkara ini.

“Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar disebabkan oleh wabak COVID-19, saya amat berharap pandangan ini dapat diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh BNM dan juga institusi-institusi kewangan dalam negara. Saya yakin langkah ini akan dapat memberi impak positif kepada rakyat kita,” katanya.

Baru-baru ini berlaku kekeliruan umum berkenaan kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan berkaitan skim moratorium (penangguhan) enam bulan bayaran balik pinjaman sewa beli yang ditawarkan oleh institusi kewangan.

Rata-rata netizen nyata kecewa dengan pengumuman terbaharu dari bank pusat itu yang disifatkan sebagai bercanggah dengan pengumuman yang disiarkan pada 25 Mac 2020 lalu.

Difahamkan, antara punca kekeliruan ini disebabkan pelbagai sumber yang membawa maklumat kurang tepat.

Sehubungan dengan itu, BNM semalam telah pun menerbitkan sebuah dokumen ‘Soalan Lazim (FAQs) Mengenai Pengendalian Moratorium bagi Pinjaman Sewa Beli dan Pembiayaan Islam Berkadar Tetap’ yang telah dikemaskini di laman web BNM.

BNM juga telah membuat sidang media untuk memperjelaskan lagi kekeliruan yang dihadapi peminjam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

One Comment

  1. Kerajaan dah sedia rugi RM 2.4 billion++/sehari jadi wajarlah bank juga menanggung/ menghapus keuntungan dari isu ini. Sepertinya pihak bank lansung tidak ambil pusing masalah rakyat n hanya pentingkan diri sendiri; mmg kapitalis..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button