Berita Utama

Syor kerajaan tubuh RCI banteras sindiket IC palsu

Bawa pihak terbabit dalam pemalsuan dokumen ke muka pengadilan

BANGI, 9 Ramadan 1441H, Sabtu – UMNO menyarankan kerajaan diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti isu pemalsuan kad pengenalan (MyKad) dengan lebih serius dan berfokus.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu penting kerana ia membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Maka, adalah penting untuk satu siasatan dan saranan yang bersifat berkecuali dan objektif dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Nordin berharap supaya pihak tidak bertanggungjawab yang terbabit dalam jenayah pemalsuan dokumen dan sebarang bentuk prosedur kemasukan dan kewarganegaraaan dikenal pasti, disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.

“Tindakan mereka bukan sahaja memburukkan imej negara, malah meletakkan keselamatan dan kedaulatan negara dalam keadaan berisiko,” tegasnya.

Kerajaan mengakui memandang serius kes-kes membabitkan pemalsuan kad pengenalan (MyKad) sama ada membabitkan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ataupun sindiket tertentu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, hari ini, berkata, sebuah pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kes pemalsuan MyKad bagi memburu dalang-dalang terbabit.

“PDRM dan JPN akan terus bekerjasama melalui ‘Ops Biru’. Kerajaan tidak akan sama sekali melindungi dan berkompromi terhadap sebarang salah laku berkenaan perkara ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button