Berita Utama

Syor letak pelarian Rohingya di tempat khas seperti Bangladesh

Makanan, kesihatan, tempat tinggal perlu diurus oleh UNHCR

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 9 Ramadan 1441H, Sabtu – Pelarian Rohingya yang berada di negara ini perlu ditempatkan di satu penempatan khas, kata Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Hussin Awang Ngah.

Beliau berkata, hakikat sebenar seorang pelarian adalah menuju ke negara lain atas budi bicara dan sifat perikemanusiaan ketika mereka dalam kesusahan.

“Jadi, Rohingya dikategorikan sebagai pelarian, maka penempatan mereka perlulah seperti di Bangladesh.

“Jadi dari segi makanan, kesihatan, tempat tinggal dan lain-lain, semuanya perlu diuruskan oleh Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), ” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, seramai 202 pendatang tanpa izin (PATI) etnik Rohingya ditahan pada 5 April lalu di pantai berhampiran sebuah pusat penginapan di Kampung Teluk Nibong, Langkawi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, kumpulan PATI terdiri 152 lelaki, 45 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan ditahan pada kedudukan 1.2 batu nautika di Barat Daya pantai berkenaan.

Ketika ditanya pendirian beliau mengenai desakan netizen kepada kerajaan untuk mengusir keluar etnik Rohingya, Hussin berkata, pihaknya tidak boleh mempertikaikan gesaan itu kerana ia bergantung kepada pandangan masing-masing.

“Namun, dari segi perundangan, pihak berkuasa perlu bertegas. Kita juga ada perikemanusiaan dari segi budi bahasa.

“Malah, kita juga mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP) dan undang-undang mengenai bagaimana pergerakan seseorang yang bergelar pelarian. Oleh itu, tidak timbul isu mereka akan tuntut sesuatu daripada kerajaan.

“Mereka seolah-olah beranggapan sudah menjadi rakyat Malaysia. Itu sebab mereka tuntut macam-macam hak. Kita kena kembalikan semula status quo sebagai pelarian,” tegasnya.

Sebelum ini, kenyataan Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhom), Zafar Ahmad Abdul Ghani mengundang amarah rakyat negara ini apabila mendakwa orang Melayu bodoh, selain menuntut hak sama rata masyarakat Rohingya dengan rakyat Malaysia.

Pada masa sama, Zafar menafikan mengeluarkan kata-kata jelik seperti seperti yang dimuat naik di media sosial.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button