Berita Utama

Tangkap pendatang tanpa izin bukan bermakna kerajaan zalim

Bayangkan kalau mereka balik, bawa COVID-19 kepada keluarga

PUTRAJAYA, 9 Ramadan 1441H, Sabtu – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan kerajaan bertindak zalim apabila melakukan operasi tangkapan ke atas pendatang tanpa izin di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau berkata, pendatang tanpa izin tetap melakukan kesalahan menceroboh negara, dan Malaysia mempunyai undang-undang yang ditetapkan.

“Semalam, isu tangkapan terhadap 586 pendatang tanpa izin di PKPD Masjid India, heboh kata kerajaan zalim tangkap mereka. Pendatang tanpa izin ini dikuarantin secara wajib dalam kawasan PKPD dan kita telah buat saringan COVID-19 dan mereka didapati negatif.

“Sepatutnya mereka yang tidak berpuas hati harus berterima kasih kepada kerajaan kerana mereka telah disaring dan diisytiharkan bersih.,” katanya dalam sidang media harian PKP, di sini.

“Bayangkan kalau mereka balik dan bawa penyakit COVID-19 kepada keluarga mereka. Dakwaan kita zalim tidak betul sebab semasa PKPD mereka dapat makanan sama seperti rakyat kita,” tambahnya.

Semalam, kumpulan hak asasi Tenaganita adalah antara yang membidas tindakan pihak berkuasa kerana melakukan operasi menahan pendatang tanpa izin di beberapa lokasi di ibu negara.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Imigresen telah mengadakan operasi menahan pendatang tanpa izin di kawasan PKPD Plaza City One, Malayan Mansion dan kawasan di sekitar Masjid India, di sini, semalam.

Ismail Sabri berkata 3,352 individu telah diperiksa dan 586 yang ditahan atas kesalahan imigresen, dihantar ke depoh tahanan untuk tindakan selanjutnya.

“Kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan mereka termasuk daripada segi makanan dan kesihatan sepanjang tempoh mereka berada dalam kawasan PKPD dan depoh tahanan,” katanya. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close