Turki hasilkan 12 juta topeng muka setiap hari
Edarkan sebanyak 40 juta topeng kepada rakyat secara percuma

ANKARA, 9 Ramadan 1441H, Sabtu –Sebanyak 55 juta penutup mulut dan hidung telah diedarkan ke farmasi seluruh Turki untuk diberikan kepada rakyat secara percuma.
Ketua Persatuan Ahli Farmasi Turki, Erdoğan Çolak berkata, perkara berkenaan adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan Ankara untuk memerangi penularan wabak pandemik COVID-19.
Sejak 11 Mac iaitu tarikh wabak berkenaan diumumkan di negara itu, Turki menghasilkan sekitar 500,000 pengeluaran topeng setiap hari.
Pada masa sama, jumlah pengeluaran topeng meningkat secara beransur-ansur sehingga mencapai 12 juta keping setiap hari.
Çolak berkata, sebelum ini farmasi negara berkenaan telah mengedarkan sebanyak 40 juta topeng kepada rakyatnya secara percuma.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, masyarakat dunia kini sedang menghadapi tahap kritikal bagi menghadapi COVID-19.
Katanya, hal berkenaan berlaku kerana China terlambat mengumumkan kewujudan wabak berkenaan, sehingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)mengklasifikasikannya sebagai wabak global.
Dalam kenyataan sama, Çolak turut memuji kecekapan kerajaan Turki menguruskan krisis COVID-19 termasuk penyediaan ubat-ubatan dan membekalkan penutup hidung dan mulut. -Agensi