Berita Utama

Anggota polis terkorban, PM zahirkan ucapan takziah

Mangsa maut selepas dirempuh kenderaan ketika bertugas

KUALA LUMPUR, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Mohamad Ismail yang maut, selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas mengawal sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, awal pagi tadi.

Muhyiddin, menerusi akaun Facebooknya, menzahirkan rasa sedih dengan berita berkenaan dan menganggapnya satu kehilangan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya bagi pihak kerajaan mengucapkan takziah kepada kepada keluarga Allahyarham dan PDRM. Saya berharap tragedi ini tidak mematahkan semangat anggota PDRM dan frontliners (barisan hadapan) yang lain dalam menjalankan tugas.

“Saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman,” katanya sambil turut menyedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham.

Dalam kejadian  jam 2.11 pagi itu, Allahyarham Safwan 31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu oleh pemandu mabuk dalam kejadian berhampiran di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS di Kajang.

Susulan rempuhan itu, kenderaan pacuan empat roda terbabit turut terbalik dan menghempap mangsa yang ketika itu bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Op COVID-19 berhampiran plaza berkenaan. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button