Berita Utama

PRN: Ahmad Razif nafi sokong Khairuddin tanding DUN Bukit Tunggal

Propaganda murahan pihak mulai takut rakyat kembali pada BN

BANGI, 24 Syawal 1444H, Isnin – Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menafikan dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang memfitnah dirinya di saluran akaun Facebook, semalam.

Beliau menegaskan, tangkap layar di satu akaun Facebook yang mendakwa beliau kononnya menyokong bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bertanding di kerusi DUN Bukit Tunggal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah palsu.

Ahmad Razif menegaskan, kenyataan yang dimuat naik di akaun berkenaan juga tiada kaitan dengan dirinya dan menyifatkan suntingan mengaitkan akaun Facebooknya juga sebagai keterlaluan.

“Saya percaya bahawa propaganda murahan seperti itu dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai niat jahat dan mulai takut dengan kesedaran rakyat untuk kembali kepada BN pada PRN tidak lama lagi.

“Taktik politik murahan sebagaimana yang disebarkan melalui akaun Facebook palsu tersebut adalah memalukan di saat demokrasi harus disegarkan dengan politik matang dan harmoni,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir berharap supaya akhlak politik jijik seumpama itu segera dihentikan.

Beliau turut memberi amaran tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas fitnah itu atau melaporkan kepada pihak berwajib.

“Saya berharap rakyat dan netizen lebih berhati-hati dengan propaganda seperti ini dengan mendapatkan maklumat sebenar sebelum memberikan reaksi atau menyalin akaun palsu tersebut untuk disebarkan.

“Marilah kita menjauhkan diri daripada politik fitnah, murahan dan berniat jahat seperti itu kerana ia bukanlah amalan yang selari dengan demokrasi sebenarnya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairuddin yang juga Setiausaha Majlis Ulama UMNO (MUU) menafikan dakwaan beliau akan bertanding di kerusi DUN Bukit Tunggal pada PRN Terengganu akan datang.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut meluahkan kekecewaannya di atas penyebaran poster di Facebook mengaitkan beliau sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan.

“Tersebar poster palsu di akaun Facebook palsu yang tidak bertanggungjawab serta berniat jahat mengaitkan saya dengan PRN peringkat negeri Terengganu.

“Perlu diperingat bahawa mencipta dan mereka-reka cerita palsu adalah perlakuan dosa dalam Islam dan salah dari sudut undang-undang negara. Ia tidak wajar dilakukan oleh seorang ahli politik, apatah lagi seorang muslim,” katanya dalam kenyataan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button