Berita UtamaDunia

Arab Saudi benarkan ibadah haji tahun ini

Syarat, perincian berkaitan masih belum diumum

RABAT, 28 Ramadan 1442H, Isnin – Arab Saudi mengumumkan akan membenarkan jemaah menunaikan ibadah haji pada tahun ini meskipun krisis COVID-19 belum berakhir.

Perkara itu disahkan oleh negara itu hari ini, namun sebarang syarat dan perincian mengenainya masih belum diumumkan.

“Keputusan Arab Saudi itu adalah berdasarkan kesungguhan negara berkenaan membenarkan tetamu dan pengunjung Masjidil Haram serta Masjid Nabawi menunaikan ibadat haji dan umrah,” kata Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Awal minggu ini, agensi berita Reuters melaporkan bahawa Arab Saudi sedang mempertimbangkan larangan jemaah dari luar negara menunaikan haji pada tahun ini.

Sumber memberitahu bahawa hanya penduduk di Arab Saudi dan negara Teluk yang diberi vaksin atau pulih daripada wabak COVID-19 sekurang-kurangnya enam bulan, sebelum tibanya musim haji dibenarkan menunaikan ibadah itu.

Sekiranya larangan itu dimuktamadkan, maka 2021 adalah tahun kedua bagi jemaah dari luar negara tidak dibenarkan memasuki Arab Saudi bagi menunaikan haji.

Lazimnya, lebih daripada dua juta penduduk dari seluruh dunia menunaikan haji setiap tahun.

Media antarabangsa, CNN melaporkan Arab Saudi menghadkan jemaah haji pada tahun lalu seramai 1,000 orang.

Tahun lalu, sekatan COVID-19 menghalang sekitar 34,000 bakal jemaah haji Maghribi berkunjung ke Arab Saudi.

Justeru, Jawatankuasa Diraja Maghribi memberi ganti rugi kepada individu terbabit yang membuat pembayaran bagi menunaikan ibadat itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button