Berita Utama

Biasiswa NASA: Azhar Ali dakwa diperdaya ‘scammer’

Mohon orang ramai berhenti buat kenyataan tidak tepat

BANGI, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Anak tempatan yang baru-baru ini menggemparkan negara apabila mendakwa dirinya berjaya terpilih menerima biasiswa daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Negara (NASA), hari ini, tampil membuka mulut bahawa beliau adalah mangsa penipuan ‘scammer’.

Dalam satu ciapan di laman Twitter hari ini, Muhammad Azhar Ali, 20, berkata, beliau sememangnya telah menyertai sebuah pertandingan mereka pakaian angkasawan, anjuran NASA di bawah program Artemis, pada 20 Mac lalu.

Beliau berkata, dirinya juga telah menerima e-mel mengatakan bahawa markahnya adalah antara 1 peratus terawal dari keseluruhan tiga juta penyertaan.

“Dua perkara berlaku – orang mula menyampaikan ucapan tahniah kepada saya, dan ada di antara mereka yang mula memeriksa keabsahan capaian yang disertakan dalam email itu. Terima kasih, anda semua hero saya.

“Dalam e-mel itu ada disertakan capaian kepada satu portal, di mana saya boleh memuat naik foto peribadi, dan ini merupakan indikasi pertama saya mempunyai kebarangkalian untuk menjadi mangsa ‘scam’.

“Jadi saya melakukan tangkapan skrin untuk anda lihat sendiri,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Beliau juga memberitahu telah menerima satu lagi e-mel, yang mendakwa mereka dari National University of Singapore (NUS), namun kiriman berkenaan tidak menggunakan domain NUS.

Namun, katanya, cara kiriman berkenaan membuatkan beliau merasakan ianya adalah satu lagi indikasi ‘scam’.

Justeru, Azhar memohon orang ramai supaya berhenti membuat sebarang kenyataaan tidak tepat mengenai dirinya.

“Saya merupakan seorang pelajar, dan saya sedang menuju ke puncak karier saya. Saya telah menerima banyak tawaran dari institusi bereputasi tinggi dari luar negara.

“Saya mohon kepada rakyat Malaysia untuk tidak membawa risiko kepada karier saya di masa akan datang, ekoran isu ini,” katanya sambil menambah bahawa dia sama sekali tidak akan memohon maaf kerana menjadi mangsa ‘scam’.

Sementara itu, ciapan Azhar telah meraih perhatian Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy berpendapat bahawa kejadian yang menimpa Muhammad Azhar perlu dijadikan sebagai pengajaran kepada seluruh rakyat mengenai kepentingan membuat semakan fakta sebelum berkongsi sesuatu perkara di laman media sosial.

“Pujian yang anda terima membawa maksud ramai sebenarnya ingin melihat anak muda Malaysia berjaya. Jangan berputus asa. Apa jua orang cakap, terus berusaha mencapai impian,” katanya.

Terdahulu, ‘kejayaan’ Azhar telah mendapat perhatian rakyat negara ini, yang rata-ratanya kagum dengan kebijaksanaannya apabila berjaya terpilih menerima biasiswa daripada NASA.

Azhar mendakwa, beliau dimaklumkan oleh pegawai NASA bahawa dirinya telah berjaya melayakkan diri dalam kalangan 1 peratus skor terbaik dalam cabaran mereka cipta sut angkasa lepas untuk ke Marikh.

Katanya, berita berkenaan disampaikan oleh pegawai kanan sumber manusia dari NASA, Rene A Holland, melalui e-mel menggunakan domain rasmi nasa.gov.

Perkongsian Azhar dalam laman Twitter itu meraih rasa bangga ramai rakyat Malaysia termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan Datuk Dr Noraini Ahmad.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close