Berita UtamaPendapat

Buah utrujah atau kurma?

Mukmin tak baca al-Quran ibarat kurma, rasa enak tetapi tiada bau

RAMADAN dan al-Quran saling berkait rapat dan satu ikatan yang tersimpul mati.

Apabila disebut Ramadan, di samping puasa, kita akan teringatkan penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran).

Bulan Ramadan adalah bulan yang diturunkan dalamnya al-Quran sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah (al-Baqarah,”: 185).

Baginda ﷺ menerangkan bahawa terdapat empat jenis manusia yang berinteraksi dengan al-Quran.

Mereka ini digambarkan oleh Baginda Rasulullah ﷺ dengan empat jenis buah dan tumbuhan yang berbeza sifatnya.

Perumpamaan yang dibuat oleh Baginda ﷺ ini adalah bertujuan agar pendengar hadis ini dapat memahami hadis dengan mudah, seterusnya menghayati maksud yang ingin disampaikan oleh Baginda ﷺ.

Dari Abu Musa al-‘Asy’ari, Nabi ﷺ telah bersabda:
“Perumpamaan seorang mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti utrujah, rasanya lazat dan baunya harum. Manakala mukmin yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah kurma, rasanya lazat akan tetapi tiada bau padanya,

“Perumpamaan seorang yang munafik yang membaca al-Quran adalah seperti pohon raihanah, baunya harum tetapi rasanya pahit. Dan perumpamaan seorang munafik yang tidak membaca al-Quran adalah seperti peria, rasanya pahit dan tidak juga berbau.” (Hadith riwayat al-Bukhari)

Dua kelompok manusia yang disebut oleh Baginda ﷺ iaitu golongan mukmin dan munafik.

Dua kelompok golongan mukmin diumpamakan seperti buah utrujah dan buah kurma.

Dua kelompok lagi dari golongan munafik iaitu umpama pohon raihanah dan buah peria.

Adapun, di dalam penulisan ini, saya hanya akan memfokuskan kepada golongan mukmin sahaja.

Seperti Buah Utrujah

Nama saintifik bagi buah utrujah ialah citrus medica, sejenis buah dari kelompok limau.

Buah utrujah adalah buah yang sangat harum baunya, bentuknya besar dan enak dilihat, warnanya kuning terang menyenangkan mata dan teksturnya lembut membuat setiap orang ingin memakannya.

Baginda ﷺ mengumpamakan mukmin yang membaca al-Quran dan beramal dengan al-Quran seperti buah utrujah.

Dia bukan setakat membacanya, tetapi juga mengamalkan dengan bersungguh-sungguh, menjadikannya sebagai petunjuk, imam dan tempat mengadu.

Ia membacanya pada tengah malam dan di siang hari.

Hatinya sentiasa hidup, lidahnya sentiasa menyebut dan jiwanya sentiasa tenang.

Golongan ini membawa kebaikan pada lahir dan pada batinnya.

Mereka ini beriman dan beramal dengan ajaran-ajaran al-Quran, bahkan diri mereka sentiasa dihiasi dengan alunan bacaan ayat-ayat suci kalam Allah ini.

Seperti Buah Kurma

Golongan mukmin yang kedua ialah mereka yang penuh hatinya dengan ajaran-ajaran al-Quran, mengamalkan ajaran-ajaran al-Quran dan di dalam dirinya, tingkah lakunya dan kehidupannya.

Akan tetapi, dia tidak menggerakkan lidahnya untuk membaca ayat-ayat Allah yang mulia.

Dia adalah mukmin yang tidak menjadikan al-Quran untuk dibaca dan dialunkan akan tetapi cukup hanya menjadikannya untuk diamalkan dan dipraktikkan.

Maka barakah baginya kurang kerana dia tidak membaca al-Quran.

Hidupnya akan sunyi, rumahnya tidak bercahaya dan lidahnya tidak bergetar dengan ayat-ayat al-Quran.

Mereka ini Baginda ﷺ gambarkan seperti buah kurma yang rasanya sedap namun tiada bau.

Bacalah al-Quran

Kerana itu, bacalah dan perbanyakkanlah membaca al-Quran kerana terlalu banyak kelebihannya.

Antaranya yang disebut oleh hadis-hadis ialah rumah yang dibacakan al-Quran di dalamnya banyak keberkatannya.

Sabda Baginda ﷺ:
“Sesungguhnya rumah yang dibacakan di dalamnya al-Quran, maka rumah tersebut akan terlihat oleh para penduduk langit sebagaimana terlihatnya bintang-bintang oleh penduduk bumi,” (Hadith riwayat Ahmad).

Sabda Baginda ﷺ juga:
“Janganlah kalian menjadikan rumah-rumah kalian perkuburan, sesungguhnya syetan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surat al-Baqarah,”  (Hadith riwayat Muslim).

Sentiasalah juga memperelokkan bacaan al-Quran kerana padanya ada kebaikan.

Daripada Abdullah Bin ‘Amru Bin Al-‘As r.a. Nabi Muhammad ﷺ bersabda: “Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca Al-Quran: Bacalah, perbaikilah dan perelokkanlah bacaan Al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan,” (Hadith riwayat Abu Daud)

Malah, Allah mengurniakan ganjaran bagi setiap perkataan al-Quran yang kita baca.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata: “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf,” (Hadith riwayat Tirmizi).

Bacalah Walau Terangkak-rangkak.

Ada antara kita masih belum mahir membaca al-Quran.

Masih terangkak-rangkak.

Mereka ini masih mendapat rahmat Allah atas kesunguhan untuk membaca al-Quran. Sebuah hadis riwayat saiditana A’isyah RA berbunyi:

Rasulullah ﷺ bersabda: “Orang yang membaca al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”, (Hadis Riwayat Bukhari).

Maka, tidak lancar membaca al-Quran bukanlah alasan untuk terus meninggalkan dari membaca al-Quran.

Bacalah dan teruslah membaca kerana Allah telah berjanji bahawa Allah akan memimpin dan membantu mereka yang bersungguh-sungguh untuk memperbaiki agamanya. Firman Allah;

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya,” (al-‘Ankabut: 69)

Ramadan Pemangkin Budaya Membaca al-Quran

Bersempena dengan bulan Ramadan ini, perbanyakkanlah membaca al-Quran.

Hal ini kerana sesiapa yang melakukan biarpun sekecil kebajikan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT pada bulan mulia ini, termasuklah membaca al-Quran, dia seakan-akan sudah melaksanakan amalan fardu.

Dengan membudayakan pembacaan al-Quran pada bulan ini diharap menjadi pemangkin untuk melatih diri merasai kemanisan mengalunkan ayat suci dan menjadikan kita seorang yang istiqamah untuk terus membaca al-Quran selepas bulan Ramadan.

Maka, kita mahu menjadi seperti buah utrujah atau buah kurma?

Ustazah Dr Suriani Sudi
Ketua Wanita ISMA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close