Berita UtamaDunia

COVID-19: Singapura kini catat 17 kematian, 17,548 kes keseluruhan

MOH melaporkan 1,347 pesakit sudah sembuh dibenarkan pulang

SINGAPURA, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Singapura mengesahkan 447 kes baharu COVID-19 dilaporkan setakat semalam dengan dua kematian Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 17,548 dan 17 orang korban.

Dalam kenyataan lewat semalam, Kementerian Kesihatan (MOH), berkata mangsa terbaru, seorang lelaki rakyat Singapura berusia 76 meninggal dunia di Hospital Besar Changi, Jumaat.

Dilabel sebagai kes 1,323, mangsa itu duji positif COVID-19 pada 6 April dan mempunyai sejarah menghidap barah, kata MOH.

Sementara itu, MOH melaporkan satu lagi kematian pada hari sama iaitu seorang lelaki warga Bangladesh.

Bagaimanapun, lelaki itu, yang merupakan kes 17,410, disahkan dijangkiti COVID-19 setelah beliau meninggal dunia.

“Bagaimanapun, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kematiannya,” menurut MOH.

MOH juga melaporkan seorang wanita rakyat Malaysia dalam sektor penjagaan kesihatan merupakan antara kes positif baharu semalam.

Pesakit kes ke-17,267 itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara yang dilanda wabak itu dan kini dirawat di Hospital Universiti Nasional (NUH).

Wanita berusia 27 tahun, yang bekerja sebagai jurukemas NUH, disahkan dijangkiti COVID-19 pada 30 April lalu dan tidak bekerja sejak mempunyai gejala penyakit itu,.

Sehingga kini, MOH melaporkan seramai 1,347 pesakit sudah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan komuniti manakala 24 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU).

Daripada kes baharu semalam, enam adalah kes dalam komuniti, 10 pemegang permit kerja yang menginap di luar asrama pekerja dan 431 adalah pemegang permit kerja yang dtinggal di asrama. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button