Berita UtamaDuniaIstimewa

Korbannya barisan hadapan kerana celaka sang pemabuk

Nilai semula hukuman pemandu mabuk, tuntut syarikat arak tanggungjawab

BANGI, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Jika satu nyawa diragut akibat wabak pandemik COVID-19 sangat bermakna buat negara, bagaimana pula dengan mereka yang menjadi korban kerana pemandu mabuk?

Demikian kekesalan yang diluahkan Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA (ANGKASA), Hazwan Mohamad susulan satu lagi laporan kemalangan yang mengorbankan anggota polis awal pagi ini, akibat dilanggar pemandu mabuk.

Beliau berkata, insiden seumpama ini bukanlah pertama kali berlaku, bahkan sudah beratus nyawa sudah hilang akibat isu sama.

“Geram baca berita seorang anggota polis maut dilanggar pemandu mabuk semalam. Ironinya, ini bukan kali pertama. Kata PM, satu nyawa diragut wabak COVID-19 amat bermakna buat negara.

“Bagaimana pula dengan nyawa yang diragut pemandu mabuk? Kita yang baca sakit hati, apalah perasaan keluarga yang menanggung,” katanya.

Beliau menegaskan, sudah tiba masanya hukuman ke atas pemandu mabuk dinilai semula, selain menuntut industri arak supaya turut bertanggungjawab.

“Sudahlah berkorban siang malam sebagai barisan hadapan, hadiahnya sekujur tubuh dibawa pulang ke pangkuan keluarga hanya dek kerana celakanya sang pemabuk,” katanya.

Terdahulu, seorang anggota polis maut dirempuh dan dihempap sebuah pacuan empat roda ketika sedang bertugas dalam sekatan jalan raya Ops COVID-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 3 pagi tadi, mangsa, Koperal Safwan Muhammad Ismail yang juga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dirempuh berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Selangor.

Kemalangan menyebabkan mangsa berusia 31 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak maut serta merta di lokasi kejadian.

Difahamkan mangsa dirempuh pacuan empat roda model Toyota Hilux dipandu seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun dipercayai dalam keadaan mabuk.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button